Laporan awal forensik Orang Asli Kuala Koh dibentang minggu depan, kata menteri

Dzulkefly Ahmad.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan membentangkan laporan awal forensik ke atas kematian 12 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan yang mengundang banyak tanda tanya minggu depan, kata Menteri Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly memaklumkan hasil dapatan setakat ini dibincangkan dalam satu mesyuarat semalam bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), polis dan Jabatan Kimia.

“Selepas dibentangkan kepada saya, saya akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail untuk memberikan penerangan tentang laporan awal tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program “Charity Run Cancer Care” di Hospital Sik, Kedah.

Semua mayat berkenaan dilaporkan sudah selesai dibedah diasat oleh pasukan forensik pada 17 dan 18 Jun lalu, namun keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi belum diperoleh.

Pada 17 Jun lalu, kementerian mengumumkan keputusan ujian makmal mendapati wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh itu disebabkan demam campak.

Dzulkefly hari ini berkata laporan penuh forensik akan dapat disiapkan apabila pasukan forensik menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 12 mayat, ujian toksikologi daripada 8 mayat dan ujian logam berat dari 10 mayat.

“Laporan DNA dari Jabatan Kimia dan keputusan ini mengambil paling kurang 4 minggu lagi untuk siap,” katanya.