MIC rakan pertama beri semangat supaya Umno pertahan BN, kata Asyraf Dusuki

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan hari ini.

KUALA LUMPUR: Umno berterima kasih kepada MIC kerana menjadi rakan pertama yang memberi semangat kepada parti itu mempertahankan gabungan Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahannya dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan semangat yang pernah ditunjukkan oleh pemimpin dan presiden MIC terdahulu seperti V T Sambanthan yang tebal rasa setiakawannya.

“Kalau nak cari kawan sebenar bukan ketika senang, tetapi cari ketika jatuh dan susah. Waktu itulah kita dapat nilai yang mana intan permata atau kaca.

“Kalian (MIC) terbukti permata bernilai,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan di sini, hari ini.

Asyraf juga memuji sikap Presiden MIC, S A Vigneswaran yang menjadi individu pertama dalam MIC yang menyokong gabungan antara Umno dan PAS.

Katanya, Umno tidak mempunyai pilihan selain memastikan 2 parti orang Melayu itu bersatu dalam usaha menawan kembali Putrajaya.

“Kita perlukan satukan seluruh kekuatan. Jika teras kita kuat, kita mampu menawan kembali Putrajaya,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, MIC menjadi parti komponen kedua BN selepas Umno yang menjalin kerjasama politik dengan PAS.

Presiden MIC, Vigneswaran berkata, keputusan itu akan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

Dalam pada itu, Asyraf berkata BN masih belum “karam” dan tetap akan dipertahankan.

“Memang layarnya koyak, pendayung ada yang patah dan di sana sini bocor, tetapi ia tidak akan karam.

“Walaupun dilanda ombak dan badai, bahtera BN tetap akan pertahankan,” katanya.

“Kita perlu kembali berkuasa. Pertama, Umno, MCA dan MIC kena kembali bersatu dengan muafakat sebagai rakan sejati.”