Penganalisis: Azmin sertai Gerakan untungkan kedua-dua pihak

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Mohamed Azmin Ali akan menguatkan kedudukan politiknya dan Gerakan mendapat nafas baru sekiranya timbalan presiden PKR itu menyertai parti pelbagai kaum yang didominasi oleh orang Cina berkenaan.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia memberitahu FMT bahawa beliau percaya pilihan terbaik Azmin ialah dengan menyertai Gerakan jika pergeseran beliau dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim kekal berterusan.

“Jika tiba ke titik berpatah arang dalam PKR, maka beliau dan pasukannya harus menyertai parti pelbagai kaum yang lain,” katanya. “Gerakan sebuah parti berpengalaman. Ia hanya memerlukan suntikan tenaga baru untuk bangkit semula.”

Beliau berkata, satu-satunya isu yang menghalang kemungkinan itu ialah pandangan umum bahawa Gerakan merupakan sebuah parti Cina.

Azmin bagaimanapun boleh mengubah persepsi itu dengan menerima pemimpin daripada semua kaum, katanya.

Azizuddin berkata, Gerakan memerlukan pemimpin seperti Azmin bagi penjemaan semula parti dan mengembalikan kegemilangannya. “Apabila pemimpin baru masuk, ia akan berubah model, dan model itu mungkin mempunyai daya tarikan popular.

Beliau berkata, penubuhan parti baru bukanlah pilihan yang baik kepada Azmin kerana dengan kewujudan begitu banyak parti sedia ada, ia mungkin gagal menarik orang ramai.

Katanya, beliau percaya DAP tidak akan menjemput Azmin menyertai parti itu bagi mengelakkan daripada dilihat mengkhianati PKR.

Beliau juga menolak idea pasukan menteri dan ahli Parlimen yang menyokong Azmin menyertai PPBM kerana mereka tidak akan mempunyai jawatan dalam parti itu.

“Azmin perlu melihat ke arah lain jika kerjaya politiknya dalam PKR berakhir, dan Gerakan memang mencari-cari pemimpin bagi mengukuhkan kedudukan parti itu.”

Gerakan keluar Barisan Nasional berikutan kekalahan gabungan politik itu dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ia ditubuhkan pada 1968 dan pada zaman puncaknya ia mentadbir Pulau Pinang, selain mendapat sokongan di Perak.

Ia gagal pulih selepas kehilangan Pulau Pinang di tangan DAP pada 2008 dan tidak memenangi walaupun satu kerusi pada pilihan raya umum lepas.