Pesara wanita hilang wang simpanan lebih RM123 ribu ditipu ‘pegawai Bank Negara’

Siasatan polis mendapati suspek mendakwa mangsa dikaitkan dengan sindiket judi haram dan perlu bercakap dengan ‘wakil Bank Negara’ bagi membantu siasatan.

KUANTAN: Seorang pesara wanita kehilangan kesemua wang simpanannya berjumlah RM123,500 dalam tempoh seminggu, selepas mendakwa diperdayakan oleh seseorang yang mengaku sebagai “pegawai Bank Negara”, sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an mendakwa dihubungi suspek lelaki kononnya “pegawai polis” dari Bukit Aman pada 24 April lalu.

Suspek mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan sindiket judi haram dan perlu bercakap dengan “wakil Bank Negara” dikenali sebagai Razak bagi membantu siasatan.

“Razak didakwa mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanannya di 3 bank termasuk simpanan Tabung Haji ke akaun sementara yang dibuka “Bank Negara” supaya wang itu tidak dirampas dalam siasatan.

“Mangsa yang bimbang akan kehilangan duitnya melakukan 24 transaksi pemindahan wang dari 26 April hingga 2 Mei lalu ke 4 akaun yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi Razak, namun hanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam, kerana masih berharap akan menerima panggilan daripada Razak.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang guru, 43, mendakwa kerugian RM2,200 selepas menyertai pelaburan tidak wujud yang mencari mangsa di laman sosial, sejak 2 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa berminat untuk menyertai pakej pelaburan berjumlah RM700, yang dibayar menerusi transaksi perbankan online pada 20 Julai lalu, sebelum diarahkan membuat bayaran tambahan, kononnya sebagai yuran pelaburan.

“Mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi wakil syarikat itu semalam, memintanya memasukkan wang kerana pelaburan itu akan dikenakan yuran antarabangsa kerana melibatkan transaksi kewangan luar negara.

“Bagaimanapun mangsa berasa ditipu selepas mendapati nombor telefonnya disekat oleh wakil syarikat itu selepas tidak menunaikan permintaan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di IPD Lipis dekat sini, semalam.