Sedut air bawah tanah langkah jangka pendek untuk masalah jangka panjang, kata NGO

PETALING JAYA: Dua kumpulan pencinta alam sekitar hari ini meluahkan kekecewaan terhadap cadangan kerajaan menjadikan 5 trilion meter padu air bawah tanah sebagai sumber baru air negara.

Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) berkata Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sepatutnya memikirkan bagaimana kerajaan boleh melindungi sumber air negara.

“Jadi menteri bukan bermakna anda boleh eksploitasi sumber-sumber semula jadi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Andrew Sebastian, merujuk kepada Menteri Xavier Jayakumar. “Ini penyelesaian jangka pendek – yang sangat pendek – untuk masalah jangka panjang.”

Beliau mengulas laporan mengatakan kementerian sedang mengkaji penggunaan sumber air bawah tanah untuk mengatasi masalah kekurangan air. Menurut Xavier, kajian dilakukan sejak beberapa bulan lalu, dan kementerian sedang menentukan kawasan air bawah yang tanah yang paling sesuai digunakan.

Sebastian menegaskan penggunaan air bawah tanah sepatutnya dianggap jalan terakhir, dan menggesa Xavier meneliti aspek lain yang lebih penting untuk kelestarian alam sekitar dan jaminan untung jangka masa panjang.

“Menteri perlu melakukan penyelidikan dengan betul, dan mengkaji secara tepat semua bentuk sumber air yang kita ada sekarang,” katanya. “Bagaimana dengan pengurusan sumber, pengurusan bekalan dan melindungi sungai-sungai dan rizab air?”

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memberi amaran eksploitasi air bawah tanah mengundang beberapa risiko yang boleh membawa bencana kepada orang ramai.

“Eksploitasi air bawah tanah tidak hanya menyebabkan paras air menurun secara mendadak, tetapi juga menyebabkan penurunan tanah permukaan di beberapa kawasan, terutama di kawasan di mana terdapat eksploitasi air bawah tanah yang dalam,” kata Presiden Shariffa Sabrina Syed Akil.

Beliau berkata cadangan kerajaan itu tidak wajar diraikan kerana Malaysia mempunyai sumber air yang banyak dan tidak perlu mengeksploitasi sumber air bawah tanah.

“Malaysia tidak seperti Somalia atau Mongolia,” katanya, dan menambah pengurusan sumber air di Malaysia lebih bertanggungjawab berbanding negara-negara berkenaan.