Tak ada seorang pemimpin BN didakwa rompak duit Tabung Haji, kata Najib

Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengingatkan sehingga kini tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun didakwa di mahkamah atas tuduhan merompak duit Tabung Haji.

Beliau berkata perkara tersebut menyangkal Pakatan Harapan yang mendakwa BN mencuri simpanan pencarum.

“Paling serius pun ialah dakwaan Umno buat kerja zalim seperti terlebih bayar hibah RM4.2 bilion kepada pencarum,” katanya di Facebook.

“Itupun tuduhan TH berdasarkan firma audit luar diupah PH yang bercanggah dengan audit Jabatan Audit Negara.”

Beliau menambah bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa bersama abangnya atas kes lain melibatkan projek lebuhraya dan bukan kerana kes Tabung Haji.

Najib berkata demikian dalam kenyataan yang mahu menyangkal tuduhan BN merompak institusi-institusi Melayu.

Beliau berkata PH mendakwa BN curi duit Majlis Amanah Rakyat (Mara) tetapi tidak ada seorang pun pemimpin gabungan itu didakwa di mahkamah sejak pilihan raya umum ke-14.

BN juga didakwa mencuri duit Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), “tapi perdana menteri ke-7 sendiri kata tak ada bukti,” katanya.

Begitu juga dengan Felda, katanya apabila BN didakwa rompak duit peneroka tetapi sehingga kini hanya bekas pengerusinya, Isa Samad didakwa menerima sogokan RM3 juta kerana, “Felda membeli sebuah hotel di Kuching, Sarawak”.

“Mana datangnya berbilion-bilion duit Felda dirompak?” katanya.

Najib seterusnya menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat institusi-institusi berkenaan seperti yang dijanjikan dalam 10 janji 100 hari manifesto pilihan raya PH.

Paling tidak, buatlah siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), katanya.

“Tapi PH tak berani buat siasatan terbuka pula. Debat pun tak mahu. Lari macam Lim Kit Siang,” katanya, merujuk kepada cabaran debat antaranya dengan pemimpin DAP itu.