Bagaimana pula geran RM5 bilion baiki jalan luar bandar Sabah, PBS tanya Guan Eng

Banyak kawasan luar bandar di Sabah yang masih tidak boleh dilalui dengan kenderaan.

KOTA KINABALU: Selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan kesediaan Putrajaya menimbangkan permohonan kerajaan Pulau Pinang bagi mendapatkan dana untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) negeri itu, seorang pemimpin PBS mencadangkan supaya Lim turut menimbangkan pemberian geran sebanyak RM5 bilion kepada Sabah bagi membaiki jalan luar bandarnya.

Ahli majlis tertinggi PBS Arthur Sen berkata, wujud keperluan mendesak untuk menangani masalah kemudahan jalan di banyak kawasan luar bandar Sabah yang masih tidak boleh dilalui dengan kenderaan.

Beliau berkata, ini bermakna kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ambulans tidak boleh sampai tepat masa pada waktu kecemasan.

Sen berkata, beliau membangkitkan isu itu selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau akan memohon dana sebanyak RM20 bilion daripada Putrajaya untuk membiayai 2 komponen PTMP.

Arthur Sen.

Katanya, beliau “mengambil perhatian” bahawa Lim, yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang dan pemimpin di belakang PTMP, telah memaklumkan bulan lepas bahawa kerajaan persekutuan sedia menimbangkan permohonan Pulau Pinang bagi mendapatkan dana untuk meneruskan projek itu.

“Ini adalah menteri kewangan sama yang terus bercakap kononnya kerajaan tidak mempunyai cukup wang. Tetapi beliau tidak berdepan masalah untuk menawarkan puluhan bilion wang bagi membiayai projek yang dimulakannya.

“Jika itu keadaannya, saya mencadangkan bahawa Sabah lebih memerlukan wang untuk pelan pengangkutannya berbanding Pulau Pinang.

“Saya fikir geran permulaan RM5 bilion boleh membantu mengatasi sebahagian daripada masalah yang timbul susulan kemudahan jalan yang buruk di kawasan luar bandar. Ia patut dijadikan geran tahunan, yang terpisah daripada peruntukan pembangunan tahunan dalam belanjawan pusat,” katanya.

Sen berkata, beberapa kampung terpecil hanya boleh dihubungi dengan helikopter, dan dalam banyak kes penduduk kampung perlu berjalan kaki selama beberapa jam untuk sampai ke rumah mereka.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah meluluskan beberapa projek bagi menghubungkan kampung terbabit dengan jalan utama, namun banyak jalan berkenaan telah rosak dan terbiar, justeru perlu dinaik taraf.

“Dana itu mesti dikhaskan untuk jalan luar bandar, jika tidak kerajaan negeri mungkin menggunakannya untuk projek kereta api menghubungkan Kudat dengan Kota Kinabalu,” katanya.

Sen menegaskan bahawa cadangan rangkaian kereta api yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Peter Anthony, April lepas adalah tidak perlu.

Katanya, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk projek jalan luar bandar yang memberi manfaat kepada penduduk berbanding perkhidmatan kereta api bagi menghubungkan 2 bandar yang sudah pun mempunyai rangkaian jalan raya yang baik.

“Projek jalan luar bandar penting untuk mengurangkan ketaksaksamaan pendapatan antara kawasan kampung dengan bandar. Kemudahan perhubungan akan membuka lebih banyak pasaran kepada hasil pertanian,” katanya.