Dzulkefly: KKM mahu gubal akta baru kawal rokok, vape, rokok elektronik, shisha

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

SERI ISKANDAR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggubal satu akta baru bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektornik dan shisha.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.

“Kita di kementerian sedang merangka Akta Tembakau yang akan menggarap secara keseluruhan permasalahan itu yang sekarang ini agak terhad dan akan dibentangkan dalam waktu terdekat.

“Pada saat ini ia dalam pemerhatian penasihat undang-undang KKM dan bakal dimajukan ke kamar peguam negara dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen “Communication For Behavioral Impact” (COMBI) sempena Hari Denggi Asean dan anugerah institusi pengajian tinggi bebas denggi peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada gula-gula “ghost smoke” akan dimasukkan di bawah akta tersebut, Dzulkefly berkata produk berkenaan masih dalam siasatan.

“Produk tersebut dalam pemerhatian kami dan dalam waktu terdekat kami akan buat penjelasan atas perkara tersebut.

“Kita buat siasatan dan ujian sampel telah kita ambil. Mungkin minggu depan kita akan dapat jelaskan posisi KKM, buat masa ini belum dapat dijelaskan dengan tuntas,” katanya.

Sementara itu, menjawab kepada gesaan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Lee Lam Thye supaya tindakan tegas dan bersepadu diambil bagi mengatasi isu penularan gejala menghisap vape dan rokok elektronik dalam kalangan pelajar, beliau berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan kementeriannya akan memastikan aisu itu diatasi.

“Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye yang mengetuai jawatankuasa khas ini sedang melihat kepada persoalan mengenai vape, shisha yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.

“Kita perlu kepada penguatkuasaan bersama dan kita mahu produk ini tidak dicapai pelajar sekolah, iaitu di bawah 18 tahun dan saya harapkan dalam waktu terdekat kita akan keluarkan kenyataan susulan mengenai perkara ini,” katanya.