Kanak-kanak boleh mati lemas dalam air secetek 2.5cm

Kes bayi mati lemas dalam bilik air sering berlaku ekoran kelalaian sesetengah pihak.

Ia satu kejadian yang sepatutnya tidak dipandang enteng oleh semua kerana ia melibatkan nyawa.

Oleh itu semua pihak perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati dengan memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan selamat jika terdapat bayi atau kanak-kanak di dalam rumah.

Walaupun paras air cetek atau hanya mempunyai baldi kecil ia tetap boleh mengundang bahaya dan berisiko melemaskan kanak-kanak.

Menurut Persatuan Pediatrik Malaysia, kanak-kanak boleh lemas di dalam air walau hanya 1 inci atau kurang daripada 2.5cm.

Malang tak berbau, maka sebab itulah kita tidak boleh pandang remeh walaupun ia dianggap perkara biasa di rumah.

Berikut adalah beberapa langkah keselamatan yang perlu dititikberatkan ibu bapa jika ada anak kecil di rumah.

1. Jangan tinggalkan ketika mandi

Jangan sekali-kali tinggalkan anak bersendirian di dalam besen mandi atau sebarang bekas berisi air seperti baldi, kolam atau tandas sekejap mana sekalipun.

2. Bahaya licin

Selain menyebabkan lemas, kanak-kanak yang bermain di bilik air juga boleh terdedah kepada bahaya kecederaan akibat jatuh atau tersungkur atau terhantuk.

Lantai yang licin memudahkan kanak-kanak terjatuh, lebih-lebih lagi jika mereka baru belajar merangkak atau berjalan.

3. Sentiasa kosongkan baldi/ bekas air

Kosongkan dan telangkupkan baldi atau apa-apa bekas berisi air dengan serta-merta selepas menggunakannya bagi mengelakkan kanak-kanak lemas.

4. Elakkan takungan air dalam baldi

Letakkan besen dan baldi di tempat yang tidak boleh dicapai supaya anak tidak mengisikannya dengan air.

Kanak-kanak yang lebih besar juga mungkin boleh menggunakan tangga atau bangku dan mengambil peluang untuk mandi dalam kolah atau tempat takungan air di rumah atau taska.

5. Sendal pintu agar lebih selamat

Nak lebih selamat, pastikan pintu bilik air boleh dikunci atau disendal dari luar supaya anak-anak kecil tak dapat memasukinya apabila ditolak.

Kadang-kala mungkin kita tidak perasan mereka boleh merangkak atau berjalan mencari kita di bilik air.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]