Polis Johor rampas dadah RM1.75 juta di 4 lokasi

Polis Johor berkata, kesemua 9 suspek, termasuk seorang warga Indonesia, kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis menahan 9 lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 3.02 kilogram dianggarkan bernilai RM1.75 juta dalam 4 serbuan berasingan di Muar dan bandaraya ini pada Selasa dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Mohd Kamaruddin Md Din berkata, kesemua mereka, termasuk seorang rakyat Indonesia, berumur antara 20 dan 46 tahun, manakala kesemua dadah dirampas terbabit dianggarkan boleh menampung seramai 72,098 orang penagih.

“Dalam serbuan pertama antara 11 pagi dan 1.30 tengahari di Jeti Nelayan, Parit Sakai Laut, Muar, Selasa lepas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Muar berjaya menahan seorang lelaki berumur 37 tahun.

“Hasil siasatan, polis merampas 10,800 biji pil ekstasi, 8,174 gram syabu dan 4,970 biji pil eramin 5 bernilai RM753,250 serta sebuah kereta Perodua Myvi daripadanya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamaruddin berkata, menerusi serbuan kedua di kawasan Taman Melati, Muar, pada waktu dan tarikh sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Muar dan AADK Muar berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dan seorang lelaki rakyat Indonesia berumur 46 tahun yang dipercayai sindiket sama dengan serbuan pertama.

Beliau berkata, polis merampas 10,962 biji pil ekstasi dan 11 gram syabu bernilai RM275,150 daripada mereka serta sebuah kereta Proton Iswara.

Katanya, dalam serbuan ketiga oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Setia Tropika, di sini, Jumaat lepas pula, polis menahan 5 lelaki tempatan berumur antara 20 dan 28 tahun serta merampas 3,098 gram syabu bernilai RM154,900 dan sebuah kereta Volkswagen daripada mereka.

“Dalam serbuan terakhir pula dilakukan di Taman Adda Heights, di sini, pada hari sama, polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun dan merampas 11,400 gram syabu bernilai RM570,000 daripadanya.

“Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Honda Dash daripada lelaki tersebut,” katanya.

Menurut Kamaruddin, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung bekalan dadah terbabit dan sejauh mana penglibatan kesemua lelaki berkenaan dalam aktiviti pengedaran dadah.

Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.