Terima kasih Malaysia, kini kami boleh bermain dengan gembira, kata Rohingya Rose FC

Pasukan Rohingya Rose FC bergambar kenangan sebelum perlawanan bermula.

PUCHONG: Selepas mengharungi detik sukar kerana diusir dari tanah air sendiri, sekumpuan remaja etnik Roghingya bangkit melupakan kisah silam mereka dengan melibatkan diri dalam sukan bola sepak.

Pasukan yang terdiri daripada 43 orang pemain itu diberi nama Rohingya Rose FC, yang terdiri daripada 25 pemain pasukan senior berumur di bawah 25 tahun dan 18 orang pasukan junior di bawah 15 tahun.

Kesemua pemain itu dilatih dan diuruskan oleh seorang jurulatih yang juga merupakan pengurus pasukan, Amman Hossain, 25.

Amman berkata, beliau sangat bersyukur dengan penubuhan pasukan itu pada 28 Julai tahun lalu. Katanya, penubuhan Rohingya Rose FC banyak membantu pemainnya mengubat luka lama dan kenangan pahit dalam hidup mereka.

Amman memberi taklimat ringkas kepada pemainnya.

“Sebelum ini mereka didera. Tapi kini, anda boleh lihat, mereka sedang seronok bermain bola di sini.

“Ini semua untuk melupuskan memori duka,” katanya ketika ditemui di Padang Bola Sepak MBSJ, Pusat Bandar Puchong di sini, hari ini.

Kehadiran mereka ke situ adalah bersempena satu perlawanan persahabatan melibatkan pasukan bawah 15 tahun dengan pasukan bolas sepak setempat.

Amman tidak dapat menyembunyikan keterujaan berjaya membawa pasukannya menentang sebuah pasukan tempatan.

Ini kerana katanya, perlawanan itu merupakan peluang keemasan untuk diri dan pasukannya mengenali masyarakat setempat, selain membolehkan para pemain berjumpa dengan kenalan sebaya yang baru.

“Terima kasih Malaysia atas peluang ini. Kami dapat beriadah, bersukan bersama-sama penduduk di sini dengan aman dan gembira.

“Kami semua sangat terhutang budi atas peluang ini,” katanya selain menambah bahawa beliau menaja pasukan itu secpenuhnya.

Jelas Amman, duit simpanannya selama bekerja sejak lebih 10 tahun lalu digunakan untuk menampung segala perbelanjaan Rohingya Roses FC.

“Saya gunakan duit saya sebanyak RM25,000 untuk pasukan ini, termasuk dengan menjual motosikal dan telefon saya.

Pasukan Rohingya Rose FC mahu pasukan itu dikenali kerana bakat dan kesungguhan mereka.

Menurutnya, kira-kira RM1,500 diperlukan bagi setiap perlawanan, termasuk swa bas, jersi, upah jurulatih, yuran perlawanan dan sebagainya.

Apabila ditanya sama ada para pemain pasukannya tinggal di kawasan berhampiran, Amman memberitahu, kebanyakan mereka tinggal bersamanya dan terdapat juga beberapa orang dari luar Ampang, Kuala Lumpur.

“Mereka tiada ibu bapa di sini. Kebanyakan ibu bapa mereka berada di kem pelarian Roghingya di luar negara.

“Di sini mereka tinggal dengan saya. Saya sewa satu rumah dan tinggal bersama mereka. Jaga mereka sendiri,” katanya kepada FMT.

Amman dan para pemainnya meluahkan hasrat untuk muncul sebagai sebuah pasukan bola sepak yang dikenali.

“Kami mahu dikenali kerana etnik Rohingya merupakan komuniti paling tidak dipedulikan di dunia.

“Dengan bermain bole sepak, kami mahu dikenali dengan bakat dan kesungguhan yang kami miliki,” kata mereka.