CAP gesa Pulau Pinang tolak insinerator

CAP berkata, insinerator menghasilkan abu toksis, dan negara maju telah menghentikan penggunaan teknologi sedemikian. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan negeri meneruskan polisinya menolak penggunaan insinerator bagi melupuskan sampah, dengan berkata, pencemaran yang terhasil daripada kaedah itu membimbangkan.

Pemangku presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pencemar dari insinerator akan memasuki udara, tanah dan air serta memberi kesan ke atas bekalan makanan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, insinerator juga menghasilkan abu toksis, dan negara maju telah menghentikan penggunaan teknologi sedemikian.

“Penggunaan insinerator juga bermakna sisa sumber berharga boleh diguna semula, terutama sekali kerana bahan buangan ini sangat berguna pengasingan sumber, kompos dan kitar semula,” katanya.

Minggu lepas, kerajaan negeri berkata, ia akan menimbangkan penggunaan insinerator bagi melupuskan sampah perbandaran kerana tempat pembuangan sampah hampir penuh.

Exco negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun Pulau Pinang sebelum ini menolak penggunaan insinerator, teknologi itu sekarang dipercayai lebih selamat digunakan.

Mohideen Abd Kadeer.

Langkah itu juga dilihat selari dengan keputusan kerajaan pusat yang mahu setiap negeri mempunyai satu insinerator, tambahnya.

Mohideen bagaimanapun berkata, Pulau Pinang harus meningkatkan usahanya menggalakan kitar semula, bukannya membeli insinerator.

“Pulau Pinang mencatatkan angka kitar semula 43% tahun lepas, iaitu 33% di bahagian pulau dan 47% di Seberang Perai. Ini adalah petunjuk yang baik. Justeru kerajaan harus menetapkan sasaran kitar semula lebih tinggi dan berusaha mencapainya lebih cepat.

“Ia boleh dilakukan melalui kompos sisa organik, yang mewakili sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah semua bahan buangan,” kata beliau.

Mohideen berkata, insinerator dan teknologi pelupusan sampah lain bukanlah penyelesaian logikal kepada masalah penghapusan sampah.

“Dunia semakin sedar tentang kegagalan insinerator. Negara maju yang sebelum ini bergantung pada insinerator kini beralih daripadanya, tetapi terus menjaja teknologi sama kepada negara membangun.

“Banyak negara kini menerima polisi sisa sifar, selain melabur dalam strategi pelupusan sampah jangka panjang, termasuk menutup insinerator mereka,” katanya.