Perpaduan Bumiputera tulang belakang Malaysia, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata, perpaduan menjangkaui keamanan dan ia adalah prasyarat pembangunan serta kemajuan sebuah negara.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memperjuangkan pengukuhan perpaduan orang Melayu dan Bumiputera sebagai asas membina Malaysia yang aman dan bersatu padu.

“Secara asasnya, keamanan dan perpaduan hanya akan dicapai apabila perwakilan politik masyarakat majoriti diperkukuh, ditambah baik dan diperkasakan menerusi wahana yang sewajarnya.

“Sebuah masyarakat Melayu/Bumiputera yang bersatu akan menjadi tulang belakang yang kuat kepada Malaysia,” tulisnya di Facebook malam ini menjelang Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, esok.

Catatan Mohamad itu menyokong seruan Sultan Abdullah yang mahu melihat negara aman dan bersatu di bawah pemerintahannya.

Ia juga susulan kebimbangan dalam politik mengenai kerjasama Umno-PAS yang akan memecah belahkan kaum majoriti itu.

Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, Umno dan Barisan Nasional komited meneruskan aspirasi “negara kesepakatan”.

“Hanya dengan konsensus, kejujuran dan sikap hormat-menghormati, kita akan berupaya memberi makna kepada kerencaman budaya negara.

“Sesungguhnya perpaduan itu menjangkaui keamanan. Ia adalah prasyarat pembangunan dan kemajuan. Maka, perlu wujud ikhtiar berterusan serta berkesan untuk menyuburkan keamanan dalam fabrik masyarakat kita.

“Namun, segala aspirasi ini haruslah diterjemahkan dengan penuh kesederhanaan dan ketelitian kerana akhirnya, kerajaan harus memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, bangsa, etnik dan perbezaan lain.”