Azizah nasihat Azmin, pimpinan PKR contohi Dr M utamakan hal parti

Bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

SHAH ALAM: Bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Timbalan Presiden Azmin Ali dan pimpinan PKR lain supaya mencontohi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang masih mementingkan urusan parti walaupun sibuk.

Pengerusi majlis penasihat PKR itu mengulas isu ketidakhadiran Azmin dalam beberapa mesyuarat parti.

“Perdana menteri sendiri, yang berpengalaman 22 tahun masih lagi memberi ruang untuk hal parti,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI).

Semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kepada media bahawa Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, tidak hadir mesyuarat majlis pimpinan pusat dan biro politik PKR sejak November 2018.

Beliau dilapor berkata Azmin tidak memberi sebarang sebab atas ketidakhadiran itu.

Selain Azmin, pimpinan lain yang tidak hadir termasuk Ketua PKR Selangor, Amirudin Shari (menteri besar Selangor), Naib Presiden Zuraida Kamaruddin (menteri perumahan dan kerajaan tempatan), dan Ketua Wanita Haniza Talha.

Azmin ketika ditanya mengenai ketidakhadirannya berkata dia mempunyai urusan kementerian.