PBS tekad menangi Kota Belud, Kedamaian pada PRU15

Maximus Ongkili. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersiap sedia menghadapi pilihanraya akan datang, termasuk di 13 kerusi yang baru diluluskan.

Bercakap pada mesyuarat agung PBS Kadamaian hari ini, Presiden Maximus Ongkili berkata parti itu berazam untuk merebut semula kerusi Kadamaian dan Kota Belud, serta bertanding di DUN Pintasan yang baru diluluskan.

“Kota Belud dan Kadamaian milik kita. Kita akan bertanding di kedua-dua kerusi ini pada pilihanraya umum ke-15, dan juga kerusi DUN Pintasan.

“Saya percaya kita mempunyai sokongan akar umbi di sini dan maklumbalas menunjukkan sentimen mereka adalah anti-pentadbiran sekarang. Oleh itu, kita menawarkan PBS sebagai suara rakyat,” katanya.

Bagi Kadamaian, Ongkili berkata parti itu berkompromi dengan bertukar kerusi dengan Upko tetapi kecewa apabila Upko mengkhianati PBS.

“Bukan saja Upko mengkhianati kita, tetapi juga majlis presiden yang kami tubuhkan bersama dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk menjalin kerjasama lebih erat untuk menjamin kemenangan dalam pilihanraya lalu.

“Saya ulangi semula Upko menjadikan PBS dan komponen parti BN yang lain sebagai pembangkang.

“Selain mengkhianati kepercayaan kami, Upko juga mengecewakan pengundi mereka yang kebanyakannya penyokong-penyokong PBS,” katanya.

Beliau berkata Adun Kadamaian Ewon Benedick memenangi kerusi itu berikutan sokongan daripada ahli-ahli PBS, tetapi memilih untuk menyokong kerajaan yang dipimpin Warisan untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

“Adun Kadamaian berpeluang menjadi YB dan melompat untuk membantu Warisan menjadi kerajaan. Dan untuk pertama kalinya, Kadamaian diwakili oleh seorang menteri penuh.

“Saya mencabar beliau untuk melaksanakan tugasnya dan bukan hanya menikmati faedah sebagai seorang menteri. Sebagai seorang menteri penuh, beliau seharusnya dapat membangunkan kawasan itu dengan lebih baik berbanding Adun sebelum ini yang hanya memegang jawatan sebagai pembantu menteri.

“Oleh itu, Adun Kadamaian harus membuktikan beliau ialah pilihan yang lebih baik. Jika tidak, sokongan PBS hanya sia-sia,” katanya.

Kenyataan Ongkili bermakna parti itu akan berdepan Warisan di sekurang-kurangnya 1 kerusi selepas timbalan presiden Warisan Darell Leiking mengisytiharkan semua 13 kerusi negeri baru yang diluluskan di Parlimen 2 minggu lepas patut diwakili oleh Warisan.