Pelantikan naib canselor UMS tepat, kata pemuda Sabah PPBM

Timbalan Ketua Pemuda PPBM Sabah, Ceasar Mandela Malakun.

KOTA KINABALU: Pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baru oleh Kementerian Pendidikan dikritik parti-parti tempatan seperti Warisan dan Upko, namun pemimpin Pemuda PPBM Sabah percaya keputusan itu tepat.

Timbalan Ketua Pemuda PPBM Sabah, Ceasar Mandela Malakun berkata, pelantikan Prof Taufiq Yap Yun Hin tepat pada masanya kerana ia menunjukkan kerajaan persekutuan komited dalam memastikan rakyat Sabah memegang jawatan kepimpinan.

“Taufiq orang Sabah tempatan dan sebagai seorang Muslim Cina, beliau merupakan simbol masyarakat di Sabah yang berbilang etnik dan agama.

“Beliau juga seorang ahli akademik yang sangat berkelayakan, memenangi beberapa anugerah dalam bidang pengajiannya selain dilantik sebagai Fellow of the Royal Society of Chemistry, United Kingdom pada 2018, pengiktirafan yang rakyat Sabah harus banggakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ceasar berkata, penduduk Sabah harus menyokong pelantikan itu kerana Menteri Pelajaran Maszlee Malik membuat keputusan melantik Taufiq berdasarkan merit.

Taufiq yang berusia 51 tahun, seorang doktor falsafah dalam “heterogenesis catalysis” adalah naib canselor UMS berkuatkuasa hari ini, menggantikan D Kamarudin D Mudin yang berkhidmat sebagai naib canselor dari 18 Jun 2017 hingga 28 Julai 2019.

Ironinya, Ceasar berkata pelantikan Taufiq berbeza dengan beberapa pelantikan utama yang dibuat oleh kerajaan negeri yang menaikkan individu dari luar Sabah ke kedudukan utama.

“Tidak lama dahulu, kita dikejutkan dengan pelantikan seorang yang bukan berasal dari Sabah sebagai presiden salah satu majlis perbandaran sedangkan ketua-ketua agensi negeri sepatutnya dari perkhidmatan awam negeri dan sepatutnya seorang penduduk asal Sabah.

“Sekarang kerajaan persekutuan melantik rakyat Sabah yang layak ke jawatan tinggi, mengapa harus mengeluh,” katanya.

Ceasar mengulas kenyataan Ketua Menteri Shafie Apdal yang mengatakan Kementerian Pelajaran tidak berunding dengan kerajaan negeri mengenai pelantikan itu.

Naib Presiden Upko, Lucas Umbul juga mengkritik keputusan itu, mengatakan kerajaan Pakatan Harapan menghina rakyat Sabah kerana tidak berunding dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Ceasar mengingatkan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut bahawa walaupun kerajaan negeri boleh menyerahkan cadangan nama calon, perkara mengenai pendidikan masih bawah Senarai Persekutuan dan kerajaan persekutuan berhak membuat keputusan.

“Inilah yang kita mahukan di Malaysia Baru di mana rakyat Sabah diiktiraf dengan sewajarnya dan ini menunjukkan kerajaan pusat komited untuk memperkasakan rakyat Sabah sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau menggesa semua orang dari kedua-dua belah jurang politik untuk tidak mempolitikkan pelantikan Taufiq.

“Biarklah ahli akademik yang berkelayakan membuat kerjanya dengan baik di UMS untuk memastikan universiti itu dapat menghasilkan graduan bertaraf dunia,” katanya.