6 penuntut UPNM diarah bela diri berhubung kematian Zulfarhan

Ibu bapa Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi KL, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan 6 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) supaya memohon pembelaan mereka dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 2 tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah memutuskan pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap 6 tertuduh itu kerana membunuh dan bersubahat.

“Mahkamah memerintahkan semua tertuduh membela diri,” katanya di bilik mahkamah hari ini.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri dituduh membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali dikatakan bersubahat.

Jenayah yang didakwa itu berlaku di sebuah bilik di blok asrama Jebat di UPNM pada 22 Mei 2017.

Seramai 12 individu lagi yang dituduh menyerang Zulfarhan untuk memaksanya mengaku mencuri komputer riba juga diperintahkan untuk menjawab tuduhan serangan itu.

Mereka dituduh menyerang Zulfarhan antara 21 dan 22 Mei 2017 di blok asrama yang sama.

Seramai 29 saksi pihak pendakwaan memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada Januari tahun lepas.

Peguam Amer Hamzah, Ranjit Singh Dhillon, Zamri Idrus, Mohd Fadly Hashim, AG Kalidas, Hazizah Kassim, M Ramachelvam dan Azizul Shariman mewakili mereka yang dituduh membunuh dan menyerang manakala Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mewakili Jabatan Peguam Negara.

Perbicaraan akan disambung semula pada 2 dan 3 Oktober. Tarikh perbicaraan berikutnya ditetapkan dari 4 hingga 7 Nov, 18 hingga 20 Nov dan 3 hingga 4 Dis.

Bapa Zulfarhan, Zulkarnian Idros, yang hadir di mahkamah hari ini, berkata beliau bersyukur atas keputusan yang memihak kepada keluarganya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang berdoa untuk anak saya agar dia mendapat keadilan,” katanya.

Isterinya, Hawa Osman, berkata beliau masih boleh merasakan kehadiran anaknya lebih 2 tahun selepas kematiannya.

“Saya masih mendengar suaranya bertanyakan bila Hari Raya,” katanya.