Lelaki mabuk gigit ular hingga putus selepas dakwa dipatuk

Keadaan ular yang digigit Rajkumar sehingga putus, selepas mendakwa ia menyerangnya.

NEW DELHI: Seorang lelaki yang mendakwa dipatuk ular di negeri Uttar Pradesh, India, Ahad lalu bertindak membalas dendam terhadap reptilia berbisa itu dengan menggigit ia sehingga putus.

Media tempatan melaporkan insiden itu berlaku di sebuah kampung di daerah Etah.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang dikenali sebagai Rajkumar, sedang mengambil minuman beralkohol ketika dia dipatuk ular berkenaan.

“Anak lelaki saya mabuk. Seekor ular telah memasuki rumah kami dan mematuknya,” kata bapa Rajkumar.

Keluarga lelaki itu kemudian membawanya ke sebuah hospital dan memasukkan bangkai ular terputus itu ke sebuah beg.

“Ahli keluarga mangsa turut membawa bangkai ular itu ke hospital. Mereka mendakwa mangsa bertindak menggigit ular tersebut selepas diserang reptilia berbisa itu terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, apabila saya melakukan pemeriksaan, saya tidak menemui sebarang kesan patukan di badan mangsa,” kata seorang doktor yang meminta keluarga lelaki itu membawanya ke hospital lain dengan kelengkapan lebih baik di bandar lebih besar kerana keadaannya semakin serius selepas dia menggigit ular berbisa terbabit.