Lembaga pengarah FIC perlu letak jawatan elak legasi Felda hancur

Minggu lepas, Felda dan syarikat pelaburan induknya, Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) disaman pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dalam pertikaian melibatkan pemberian tanah.

SPSB berkata, berdasarkan perjanjian dengan FIC pada 2014, mereka sepatutnya diberikan 24 bidang tanah yang keseluruhannya seluas 20.66 ekar untuk dimajukan di tanah milik Felda di Jalan Semarak, tetapi syarikat itu hanya menerima satu bidang tanah daripada Felda.

Sekali pandang, mungkin ini nampak pelik kerana FIC bertindak tidak profesional, sedangkan FIC adalah syarikat yang kerap mengendalikan pelaburan berjuta ringgit. Tetapi, jika selidik kembali amalan FIC dalam pelaburannya, nescaya saman daripada SPSB ini tidaklah terlalu mengejutkan.

Pada pendapat penulis, penting untuk perdana menteri dan menteri hal ehwal ekonomi bertindak secepat mungkin menyelesaikan situasi ini dan mengambil langkah menstruktur semula Felda bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah.

Berdasarkan prestasi sebelum ini, FIC tidak membawa sebarang nilai kepada Felda dan penerokanya.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah anak syarikat Felda yang berfungsi sebagai sayap pelaburan induk dalam sektor bukan perladangan seperti hartanah, perhotelan dan pelaburan strategik lain di dalam serta luar negara.

Kita mungkin tidak akan tahu kenapa Felda yang tugas utamanya untuk membantu masyarakat luar bandar keluar daripada kancah kemiskinan melalui program perladangan, melabur dalam industri tiada kaitan dengan teras perniagaannya.

Bagaimanapun, kita boleh lihat dengan jelas pelbagai kepincangan tadbir urus yang berlaku dalam pelaburan ini.

Sebagai contoh, dalam kes KLVC, nilai tanah yang dibayar kepada Felda lebih rendah daripada harga pasaran. Ini berlaku kerana terdapat kegagalan komunikasi antara pihak pengurusan dan lembaga pengarah FIC.

Menurut Kertas Putih Felda, dalam mesyuarat lembaga pengarah FIC, pihak pengurusan berpendapat pulangan minimum RM500 juta untuk tanah itu adalah munasabah, namun penilaian lanjut jurunilai bebas serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mendapati tanah itu mempunyai nilai purata RM618 juta.

Selain itu, projek KLVC ialah pelaburan berisiko tinggi untuk FIC kerana langsung tiada kajian dijalankan ke atas pelaburan itu dan ia berisiko mengalami kerugian dari segi hasil sewaan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion selama 20 tahun.

Selain KLVC, FIC turut membuat pelaburan merugikan dalam Felda Wellness Corporation (FWC), Hotel Park City Grand Plaza Kensington (GPK), Felda House dan Grand Felda House.

FWC yang diasaskan pada 2013 mendapat modal permulaan RM5 juta dan peruntukan RM102 juta dari Felda. Namun, nilai syarikat itu terus merosot dan setakat 31 Disember 2017, kedudukan liabiliti bersih FWC mencecah RM185.6 juta, termasuk baki hutang FIC dan Felda berjumlah RM186 juta.

Dalam pelaburan GPK di London pula, lembaga pengarah FIC meluluskan pembelian itu pada harga £60 juta (RM305 juta) pada September 2014. Namun, jurunilai bebas mendapati nilai GPK merosot kepada £26 juta pada Jun 2015, 9 bulan selepas pembelian itu yang membawa kerugian sebanyak £34 juta.

Bagi Felda House dan Grand Felda House di Wembley, London, FIC membeli 2 hartanah itu pada harga £58.5 juta dan £109.26 juta yang keseluruhannya berjumlah £167.76 juta. Tetapi, seperti pelaburan KLVC, berlaku percanggahan komunikasi antara lembaga pengarah dan pengurusan FIC.

Lembaga pengarah meluluskan harga pembelian £163 juta, iaitu £4.76 juta lebih rendah daripada £167.76 juta yang dibayar FIC. Ia turut membelanjakan £648,000 untuk kerja tambahan pada Grand Felda House tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Percanggahan komunikasi antara pihak pengurusan dan lembaga pengarah seolah-olah menjadi “tema” dalam setiap pelaburan FIC.

“Tema” lain yang kerap berlaku dalam pelaburan anak syarikat Felda itu termasuk melabur tanpa kaji selidik mendalam, membeli pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran, kelemahan tadbir urus, tidak patuh kepada dasar Felda dan penglibatan pihak ke-3 yang tidak sah.

Pelaburan ini bukan saja merugikan FIC dan Felda, tetapi memberi imej buruk kepada status Felda sebagai agensi utama kerajaan.

Siapakah individu dalam lembaga pengarah Felda yang membuat keputusan menyimpang daripada objektif asal Felda dan melabur dalam syarikat tiada kaitan dengan teras perniagaannya berasaskan perladangan?

Jika individu ini masih berada dalam Felda, beliau seharusnya bertanggungjawab dan meletak jawatan secara profesional. Jika tidak, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan memecat individu ini sebelum mereka menghancurkan legasi Felda serta menyukarkan hidup peneroka.

Dengan prestasi kewangan Felda yang merudum sekarang, FIC perlu melakukan perubahan drastik untuk mengelakkan ia terus menanggung kerugian. Selain itu, ia perlu mengutamakan pelaburan dalam sektor perladangan, bukannya perhotelan atau hartanah.

Bukankah sudah tiba masa untuk Felda kembali ke asal-usulnya dalam bidang perladangan?

Hanna J ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.