Mahkamah ketepi kebenaran mula prosiding terhadap Shafee

Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataannya kepada media berkaitan kes bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini susulan keputusan Hakim Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan Shafee untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh peguam negara.

Firuz dalam penghakimannya berkata saman pemula yang difailkan oleh peguam negara kurang butiran berhubung tuduhan menghina mahkamah terhadap Shafee.

“Orang yang dituduh menghina mahkamah harus tahu dengan tepat apakah pertuduhan yang dihadapinya. Peguam negara mesti menyatakan secara adil dan sejelas-jelasnya kata-kata yang didakwa dituturkan oleh Shafee,” kata beliau.

Hakim juga mendapati kata-kata yang didakwa diucapkan itu tidak secara sengaja dituturkan oleh Shafee tetapi hanya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh seorang wartawan.

Mahkamah juga memerintahkan peguam negara membayar kos RM30,000 kepada Shafee yang dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula itu.

Pada 1 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk memulakan prosiding terhadap Shafee kerana menghina mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada Februari tahun ini, Thomas berkata Shafee seorang peguambela dan peguamcara mewakili Najib yang didakwa atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

Beliau berkata, pada 7 Feb 2019, selepas selesai prosiding mahkamah membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi, defendan ditemubual oleh beberapa wartawan di luar kamar mahkamah dan temubual itu dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com dan disiarkan menerusi KiniTV yang boleh dilayari melalui https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Thomas mendakwa bahawa defendan tahu atau sepatutnya mengetahui kenyataan yang menyinggung perasaan itu bersifat menghina terhadap hakim dan akan menjejaskan pelaksanaan keadilan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

Beliau seterusnya berkata, dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu, hakim perbicaraan tidak betul, hakim dipengaruhi, saksi-saksi diajar dan bukti direka-reka.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan dari peguam negara sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu.