Orang Asli ugut anjur protes selepas MB Perak tak iktiraf tanah adat

Rahman Hasan menjangkakan Orang Asli dari Perak dan Semenanjung Malaysia akan mengadakan bantahan selepas Hari Raya Aidiladha.

PETALING JAYA: Orang Asli di Perak mengugut akan mengadakan bantahan di depan kediaman menteri besar susulan kenyataan Ahmad Faizal Azumu yang tiada tanah di negeri itu diiktiraf sebagai tanah adat untuk masyarakat itu.

Aktivis Orang Asli, Rahman Hasan berkata komuniti itu kecewa dengan Pakatan Harapan yang gagal mengotakan janji untuk memperjuangkan nasib mereka, ketika gabungan 4 parti itu menjadi pembangkang.

“Kami berpandu kepada janji manifesto PH. Mereka janji sekiranya PH menang, mereka akan jaga kebajikan dan perjuang soal tanah adat, bila (menteri besar) keluar kenyataan macam itu, kami rasa kecewa.

“Kami Orang Asli Perak dan Semenanjung akan turun serah memorandum kepada menteri besar Perak, kami akan tunjukkan apa yang mereka pernah janji dalam manifesto dan ketika jadi pembangkang, kami akan berarak ke rumah menteri besar mungkin selepas Hari Raya Haji Aidiladha,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Faizal dilaporkan berkata, mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli atau kaum lain di Perak.

Katanya, tiada konflik antara kerajaan Perak dan Orang Asli di negeri itu, tetapi hanya timbul permasalahan di Hulu Perak kerana komuniti itu menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik, baru-baru ini.

Hari ini, Rahman yang juga tok batin membidas pemimpin PH yang lantang mengkritik kerajaan Kelantan sebelum ini kerana enggan mengiktiraf tanah adat, tetapi kini membisu apabila komuniti itu ditindas kerajaan Perak pimpinan PH.

“Dulu masa jadi pembangkang, mereka kutuk kerajaan Kelantan, sekarang bila jadi kerajaan, lain pula pendirian.”

Beliau mengugut Orang Asli akan menolak PH pada pilihan raya umum ke-15 jika nasib Orang Asli bertambah teruk di bawah pentadbiran gabungan itu.

“Kami sertai Bersih, kami tuntut supaya kerajaan ditukar, harapan kami bila kerajaan bertukar, nasib kami lebih baik dari zaman Barisan Nasional. Tetapi, bila keadaan jadi lebih teruk, kami rasa tidak boleh diam, kami kena bertindak.

“PRU akan datang, kami akan buang PH di Perak ini sebab aktiviti pembalakan makin berleluasa, menjejaskan kawasan kami. Kami tidak kisah kalau ada parti baru, kami akan pangkah parti baru,” katanya sambil menambah Orang Asli tidak dipengaruhi mana-mana pihak untuk menentang kerajaan.

Katanya, beliau tidak gentar jika elaun tok batin ditarik kerajaan kerana keutamaannya ialah untuk membela nasib Orang Asli.

Beliau memuji Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) yang konsisten membela nasib Orang Asli tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Yusri Ahon menepis kenyataan Faizal yang mendakwa tiada tanah yang diiktiraf Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri sebagai tanah adat untuk Orang Asli.

“Terdapat banyak kes mahkamah yang mengiktiraf hak tanah Orang Asli, ada yang khusus di Perak, ini diputuskan pada 2015.”