Pendaftar perlu tunggu 120 tahun tunai haji, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata, kerajaan sedang mengkaji cara mengurangkan tempoh menunggu giliran untuk menunaikan haji, termasuk menghentikan pendaftaran kali ke-2. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Mereka yang mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji pada bulan ini perlu menunggu 120 tahun untuk menunaikan haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Oleh itu, katanya, kerajaan sedia mengkaji kemungkinan membenarkan warga emas memotong giliran menunaikan haji lebih awal berbanding jadual asal pada masa depan.

Beliau berkata, perkara itu bukan dasar TH buat masa ini kerana fokus kerajaan ketika ini ialah mencari jalan memendekkan tempoh menunggu giliran haji, termasuk memohon kuota tambahan setiap tahun.

“Setakat ini, (perkara) sedang dikaji adalah bagaimana nak kurangkan tempoh menunggu, antara perkara dilaksanakan ialah menghentikan pendaftaran haji kali ke-2, itu juga boleh memendekkan tempoh menunggu.

“Tetapi untuk warga emas, potong giliran itu belum diletakkan sebagai dasar dalam Tabung Haji, namun boleh dikaji sebagai dasar pada masa depan,” katanya dipetik Bernama pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab celahan Yang Dipertua Dewan Negara, SA Vigneswaran yang ingin tahu jika perkara itu merupakan dasar TH.

Vigneswaran mencelah ketika Rahimah Mahamad mengemukakan soalan tambahan berhubung gerak kerja kerajaan dalam mengutamakan warga emas untuk mengerjakan haji.