Saya tak diharam masuk Kanada, cuma visa ditolak, kata Zakir Naik

Zakir Naik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik nafi dia diharam masuk ke Kanada dan beberapa negara lain, mengatakan tiada bukti dia diharamkan negara-negara berkenaan.

Sebaliknya, apa yang berlaku hanyalah permohonan visanya ditolak.

“Siapa beritahu anda saya ‘diharamkan’ di Kanada?” katanya dalam temubual bersama stesen penyiaran antarabangsa, The Newsmakers semalam.

“Adakah anda mempunyai dokumen mengatakan saya diharamkan di Kanada?”

Beliau menjawab pertanyaan wartawan, kenapa Naik yakin dirinya tidak bermasalah sedangkan dia dihalang masuk oleh pihak berkuasa beberapa negara.

Wartawan itu juga menarik perhatian Naik kepada permohonan waran tangkap terhadapnya oleh kerajaan India.

Penceramah itu berdepan pertuduhan pengubahan wang dan mencetuskan kebencian kaum di India, dengan pihak berkuasa pada tahun lalu berkata, beliau “menggalakkan permusuhan dan kebencian antara kumpulan agama berbeza di India melalui ucapan dan ceramah awam”.

Bangladesh menyalahkan ucapannya sebagai alasan untuk serangan di Dhaka pada 2016 yang meragut 22 nyawa.

Menurut Naik, pernolakan permohonan visa tidak bermakna seseorang itu diharamkan.

“Rasminya, saya hanya dilarang untuk ke sebuah negara sahaja iaitu United Kingdom selama 3 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan pemberita bahawa Naik tiada dalam senarai merah Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditemubual stesen penyiaran Turki, TRT World berkata Malaysia tiada pilihan kecuali membenarkan Naik menetap di Malaysia kerana negara lain tidak mahu menerima penceramah itu.