Syarat ketat punca kurang 15% permohonan Rumah Selangorku diluluskan, kata exco

Haniza Talha berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan skim pembiayaan sewa untuk beli di Selangor.

SHAH ALAM: Tidak sampai 15% atau hanya 24,243 daripada 189,892 permohonan atas talian untuk membeli Rumah Selangorku diluluskan kerajaan negeri sejak 2014, kata Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha.

“Terlalu ramai pemohon gagal membuat pembelian kerana syarat ketat yang ditetapkan pihak bank berhubung kelulusan pinjaman perumahan.

“Kita akan mengambil langkah bekerjasama dengan beberapa bank lain supaya pemohon berpeluang membuat pinjaman bagi membeli Rumah Selangorku,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi melaksanakan skim pembiayaan sewa untuk beli di Selangor.

“Langkah ini disifatkan platform terbaik untuk rakyat Selangor memiliki rumah pertama menerusi program Rumah Selangorku.”

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, pihaknya dan beberapa kini dalam proses akhir untuk melancarkan skim pembiayaan sewa untuk beli pada September ini.

Skim itu diperkenalkan khusus untuk golongan berpendapatan bawah RM3,000 bagi memiliki rumah tanpa perlu membayar deposit.