Cukuplah cerita penggal PM, Kadir tegur Azmin

A Kadir Jasin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengikut setia Dr Mahathir Mohamad hari ini menegur Mohamed Azmin Ali selepas menteri hal ehwal ekonomi itu menggesa Mahathir terus menggalas tugas perdana menteri sehingga penggal 5 tahun tamat.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin di blog peribadinya berpesan kepada Azmin bahawa video seks sejenis yang menyasarnya itu sudah “tidak boleh dikawal”.

“Ia akan menghantui orang-orang yang berkenaan tanpa mengira sama ada mereka yang mengakuinya, yang menafikannya, atau dalangnya, mungkin sepanjang hayat,” katanya.

Azmin pada 29 Julai berterima kasih kepada PAS dan Umno kerana mengetepikan perbezaan politik dengan Mahathir dan menyokong beliau sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.

Kenyataan itu muncul disebalik pertelagahan dengan ketuanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang menurut Pakatan Harapan akan mengambil alih jawatan perdana menteri pada pertengahan penggal.

Kadir mengingatkan pendirian Umno dan PAS itu tidak patut dilihat sebagai sokongan kepada Mahathir.

“Tujuan utama gabungan Umno-PAS adalah memecahkan PH,” katanya.

Beliau menambah perkara penting lain yang perlu ditangani daripada berbincang mengenai apa yang sudah dipersetujui.

“Mahathir berulang kali cakap tiada rombakan Kabinet dan dia akan menunaikan janji serah kuasa kepada Anwar,” katanya.

Beliau bagaimanapun menambah para menteri tidak sepatutnya “berasa yakin dan meneruskan cara-cara tidak senonoh mereka.”

“Mungkin ini cara perdana menteri mengatakan, mungkin lebih baik kamu semua perbaiki perangai masing-masing atau berundur apabila saya tiada lagi di sini untuk mempertahankan kamu.

“Jadi mana-mana menteri yang rasa tak tahan nak berlakon dalam filem atau klip video, sila pastikan ia kategori umum,” katanya.

Azmin dan Anwar bertelagah selepas presiden PKR itu mencadangkan timbalannya meletakkan jawatan jika video seks sejenis menyasarnya itu sahih.

Azmin juga tidak menghadiri sekurang-kurangnya 2 mesyuarat PKR, ketika spekulasi mengatakan dia dan beberapa pemimpin parti sedang mempertimbangkan untuk menyertai Gerakan.