Hubungan baik GPS, Dr M ancam DAP di Sarawak, kata penganalisis

GPS, sebuah gabungan politik terdiri daripada bekas parti komponen BN, dibentuk pada Jun 2018. (Gambar Bernama)

KUCHING: Hubungan baik antara gabungan kerajaan Sarawak dengan Dr Mahathir Mohamad akan dilihat sebagai ancaman terhadap DAP, kata seorang penganalisis politik berikutan kenyataan yang mengelompokkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersekali dengan Umno dan PAS dalam satu kumpulan.

Pensyarah Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, oleh sebab itu tidaklah mengejutkan apabila Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen membuat dakwaan bahawa GPS merupakan penghalang terhadap usaha Pakatan Harapan (PH) melakukan pembaharuan di negeri itu.

Chong juga melabelkan GPS, yang terdiri daripada parti bekas komponen Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan gabungan politik itu selepas pilihan raya umum 2018, sebagai anggota ke-3 gabungan Umno-PAS yang diistilahkannya sebagai “gabungan cemar”.

Awang Azman berkata, kenyataan itu harus dilihat dalam konteks hubungan baik Mahathir dengan ahli politik pemerintah di Sarawak, walaupun beliau merupakan pemimpin utama dalam menjatuhkan kerajaan BN di sana.

“Chong berharap Mahathir akan mengubah persepsinya terhadap GPS selepas beliau melabelkannya sebagai anggota ke-3 “gabungan cemar” Umno-PAS,” Awang Azman memberitahu FMT.

Katanya, pertelingkahan antara Putrajaya dengan kerajaan Sarawak akan memberi keuntungan kepada DAP dalam usahanya menumbangkan GPS.

Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman berkata, tuduhan bahawa GPS bekerjasama dengan Umno dan PAS bukanlah isu besar dalam landskap politik Malaysia yang sentiasa berubah.

“DAP sendiri merupakan sekutu PAS, tetapi GPS tidak pernah menjadikannya isu besar kerana politik bersifat dinamik dan akan sentiasa berubah berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa,” katanya.

Katanya, fokus sebenarnya ialah menunaikan janji pilihan raya PH.

“Apakah status janji manifesto PH di Sarawak? Apakah peranan PH Sarawak dalam menunaikan janji pilihan raya untuk mengembalikan bayaran royalti minyak 20% kepada negeri itu?”, soal beliau.

Pandangan Awang Azman dipersetujui oleh seorang penganalisis politik yang berpangkalan di Sabah, Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung.

Lee berkata, Chong perlu berhenti mengelirukan rakyat Sarawak dengan menuduh GPS sebagai sebahagian daripada gabungan Umno-PAS.

“Ini adalah retorik politik yang direka oleh DAP bagi membolehkan parti itu memenangi pilihan raya negeri,” kata Lee dari Universiti Malaysia Sabah.

Sarawak perlu mengadakan pilihan raya negeri selewat-lewatnya pada pertengahan 2021. Pada 2016, BN menang besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. DAP menang 7 kerusi.

Pada satu majlis makan malam PH di Kuching minggu lepas, Chong menuduh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang merupakan komponen utama GPS, bekerjasama dengan Umno dan PAS – 2 parti terbesar orang Melayu yang membentuk satu pakatan politik selepas pilihan raya umum 2018.

Antara lain Chong mendakwa pemimpin GPS bersubahat dengan pemimpin Umno dan PAS dalam menggagalkan rang undang-undang pindaan perlembagaan di Parlimen bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf di bawah persekutuan Malaysia.