Inisiatif bantu buruh tak berjaya jika mereka tak berminat, kata PM
Jika buruh tempatan melaksanakan tugas diberi dengan baik, gaji dan emolumen yang mereka terima akan bertambah baik dan meningkat secara semula jadi.
PUTRAJAYA: Inisiatif dilaksanakan Putrajaya untuk membantu buruh tidak akan mencapai hasil positif sekiranya mereka sendiri tidak berminat melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberi, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata, sekiranya buruh tempatan melaksanakan tugas diberi dengan baik, gaji dan emolumen yang mereka terima akan bertambah baik dan meningkat secara semula jadi.
“Empat bidang keutamaan diberikan semasa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan pada tahun lalu. Antaranya, memperbaharui pasaran buruh, meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
“Selain itu, akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti, serta memupuk hubungan industri dan akademik yang lebih baik,” katanya sewaktu menghadiri mesyuarat meja bulat bersama wakil dewan perniagaan antarabangsa di PICC, hari ini.
Menurutnya, pembaharuan buruh penting dalam usaha membangunkan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara di masa hadapan, serta menangani ketidaksepadananan pekerjaan.
“Ketidaksepadanan pekerjaan menyumbang kepada pengangguran, pertumbuhan gaji yang lembab serta akan bergantung pada buruh asing. Semua ini mempunyai kesan serius terhadap ekonomi dan perniagaan,” katanya.
Mahathir berkata, Putrajaya akan mengkaji undang-undang buruh bagi memperbaiki pasaran buruh serta memastikan ketelusan lebih tinggi dan menjaga kebajikan pekerja.
Baginya, adalah penting sektor awam dan swasta mempunyai hubungan rapat bagi memacu pembangunan ekosistem industri dalam menghadapi Industri 4.0 di Malaysia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Ia membolehkan kita mengoptimumkan sepenuhnya sumber bakat yang kita ada ada menerusi graduan tempatan,” katanya.