Laporan: 7.6 juta penduduk berdepan risiko banjir di Bangladesh

Bangladesh menyaksikan situasi lebih buruk pada 2017 apabila 42% daripada keseluruhan tanahnya ditenggelami air, menyebabkan berjuta-juta penduduk menderita. (Gambar Twitter)

DHAKA: Banjir di Bangladesh menyebabkan nyawa sejumlah 7.6 juta orang berdepan risiko apabila data rasmi menunjukkan bilangan mangsa yang maut ialah 119 setakat ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) pada Rabu.

Beratus-ratus ribu orang terkandas di bahagian utara dan timur laut negara itu, manakala lebih 600,000 rumah mengalami kerosakan.

Orang ramai juga terpaksa hidup dalam keadaan tidak bersih, kekurangan air minuman selamat dan tempat perlindungan yang mencukupi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berhubung penularan wabak penyakit yang meluas.

Komuniti terbabit turut melaporkan kekurangan makanan apabila lebih 160,000 hektar tanah ladang musnah, kata IFRC.

“Ketika saya di Daerah Bogura minggu ini, keluarga yang kehilangan rumah dan kini berkhemah di benteng jalan memberitahu saya bahawa mereka amat memerlukan makanan, air dan penjagaan kesihatan.

“Yang lain pula berkata mereka hanya memiliki 2 musim penanaman setahun. Apabila 1 musim mengalami kerosakan, mereka bimbang bagaimana untuk memberi keluarga mereka makan pada bulan akan datang. Lebih banyak banjir dijangka berlaku, jadi keadaan amat teruk,” kata Azmat Ulla, ketua pejabat IFRC di Bangladesh.

IFRC melancarkan rayuan kecemasan bagi mengumpul hampir 7 juta franc Switzerland (AS$7 juta) untuk membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh mendekati sejumlah 150,000 orang yang terjejas akibat banjir.

Menurut laporan terkini Direktorat Umum Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) negara itu, bencana banjir meragut 119 nyawa setakat ini.

Bangladesh menyaksikan situasi lebih buruk pada 2017 apabila 42% daripada keseluruhan tanahnya ditenggelami air, menyebabkan berjuta-juta penduduk menderita.