Mahkamah Tinggi putus tiada bidang kuasa ke atas hal ehwal wakaf

Waris Abdul Cauder, Muhamad Amin Abdul Rahman (kiri) bersama rakan keluarga (tengah) dan peguam Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan bahawa tanah wakaf di Butterworth yang dituntut oleh satu keluarga adalah milik sah pihak berkuasa agama Islam negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Amarjeet Singh berkata Wakaf Abdul Cauder juga berada di luar bidang kuasa mahkamah sivil dan sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah seperti diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa ke atas hal ehwal wakaf,” katanya.

Keputusan itu adalah berkaitan satu saman pemula yang difailkan oleh Muhamad Amin Abdul Rahman, yang menyaman Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan 2 yang lain dengan mendakwa penagambilalihan tanah keluarganya oleh majlis berkenaan tidak sah.

Amin merupakan waris keluarga Abdul Cauder yang memiliki lot tanah seluas 1.09 hektar di Jalan Mengkuang, Butterworth, yang kini dikenali sebagai Wakaf Abdul Cauder.

Beliau memohon perisytiharan mahkamah bahawa beliau merupakan pemilik sah hartanah berkenaan, berdasarkan surat wasiat arwah neneknya, Kavana Ebrahim @ Burong.

Tanah berkenaan pada asalnya dimiliki suami Kavana, Abdul Cauder.

Amin berkata, ini selari dengan suratikatan pemegang amanah bertarikh 17 Ogos 1892, yang menetapkan waris beliau sebagai pemegang amanah tanah berkenaan.

Wasiat Kavana menyebut bahawa tanah itu diberikan untuk tujuan wakaf “selagi beliau hidup”.

Bagaimanapun kata Amin, berikutan kematian Kavana, tanah tersebut tidak boleh diberikan sebagai tanah wakaf dan hendaklah diserahkan kembali kepada pemegang amanah atau waris mereka kerana wasiat 1892 itu tertakluk kepada Akta Pemegang Amanah 1949.

Dalam keputusannya hari ini Amarjeet berkata, keluarga berkenaan hilang hak pemilikan ke atas tanah berkenaan kepada pihak berkuasa wakaf orang Islam seawal 1919 kerana ia dipegang oleh Lembaga Wakaf Orang Islam dan Hindu (MEHB) pada masa itu.

MEHB kini dikenali sebagai Lembaga Wakaf Hindu, sementara wakaf orang Islam ditadbir oleh pihak berkuasa agama Islam negeri sejak negara mencapai kemerdekaan.

Amarjeet juga membenarkan kos RM5,000 walaupun peguam pembelaan yang terdiri daripada Mohamad Aslam Mohamad Mydin dan Ayu Rohaiza Khazali memohon kos sebanyak RM40,000.

Peguam Amin, Ku Abdul Rahman Ku Ismail memberitahu pemberita di luar mahkamah hari ini bahawa mereka akan menfailkan rayuan, selain memfailkan kes baru di mahkamah syariah.

Amin berkata, beliau akan terus bersabar dan berharap Mahkamah Rayuan akan memeriksa wasiat neneknya itu.