Pengutip hutang ganggu peminjam didenda RM10,000

Seorang peminjam syarikat pinjaman kewangan berlesen mendakwa risalah gambarnya dengan perkataan memalukan ditampal berhampiran sekolah tempat dia mengajar.

KUANTAN: Seorang pengutip hutang syarikat pinjaman kewangan berlesen didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah mengganggu seorang guru wanita yang dikatakan gagal membayar pinjaman, bulan lalu.

Majistret Nurunaim Abdullah juga memerintahkan Neo Soon Hwai, 59, menjalani hukuman penjara selama 10 bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Neo didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.45 petang, 19 Julai lalu dengan membuat panggilan telefon kepada Zaimah Ahmad, 39, selain menampal poster di pondok telefon dan perhentian bas berhampiran sekolah tempat mangsa mengajar.

Poster itu didakwa mengandungi gambar mangsa yang dikatakan membuat pinjaman RM10,000 sekitar Disember 2017, dengan simbol tanda ringgit selain ayat “hutang duit tak bayar” dan “orang penipu”.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang juga seorang penghantar surat khabar didakwa mula mengganggu mangsa selepas dia enggan meneruskan pembayaran kerana mendapati jumlah yang dijelaskan secara ansuran ialah RM18,000.

Pada prosiding itu, peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas tertuduh yang hanya memperoleh gaji bulanan RM900 bagi menyara isteri dan seorang anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat.

Tertuduh menjelaskan denda itu.