Ringgit susut berbanding dolar AS

Penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dan kenyataan memihak kepada kadar faedah rendah oleh pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell dilihat mengecewakan pasaran.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila mata wang negara maju itu melonjak selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS memutuskan kadar faedah diturunkan sebanyak 25 mata asas.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1440/1470 daripada 4.1250/1280 pada Rabu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan sebanyak 25 mata asas dan kenyataan memihak kepada kadar faedah rendah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell dilihat mengecewakan pasaran.

“Fed masih optimis walaupun keadaan ekonomi yang lembap, justeru langkah terbaru tersebut bertujuan melindungi daripada risiko negatif dan mengekalkan pengembangan ekonomi semasa.

“Pastinya dolar AS memperolehi lebih banyak kelebihan dan ini boleh memberikan impak negatif kepada mata wang negara pesat membangun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, oleh itu ringgit akan diniagakan dalam kecenderungan rendah berbanding dolar AS selain dijangka bergerak pada paras rintangan semasa RM4.1461.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0099/0132 daripada 3.0134/0162 pada Rabu dan meningkat berbanding euro pada 4.5750/5791 daripada 4.5969/6019.

Mata wang tempatan juga tinggi berbanding yen kepada 3.7914/7952 daripada 3.7997/8029 semalam dan stabil berbanding pound Britain kepada 5.0180/0220 daripada 5.0189/0242.