Senator PKR minta maaf, tarik balik cadangan akta ‘anti godaan’
Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan senator Mohamad Imran sebagai tidak munasabah dan menghina wanita.
PETALING JAYA: Senator PKR Mohamad Imran Abdul Hamid meminta maaf atas cadangannya supaya digubal satu undang-undang bagi melindungi orang lelaki daripada digoda oleh wanita untuk melakukan kesalahan jenayah seksual.
Imran berkata, beliau menarik balik cadangan yang dibuatnya di Dewan Negara semalam.
“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum laki-laki kerana dianggap menghina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara, Imran berkata, golongan lelaki perlu dilindungi kerana perlakuan dan pemakaian kaum wanita boleh menggoda mereka melanggar undang-undang.
Imran seterusnya mencadangkan suatu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki “akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya.
Kenyataan beliau mendapat keras banyak pihak, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyifatkan cadangan itu menghina wanita.
“Ingin saya jelaskan bahawa PKR menolak cadangan tersebut kerana ia dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.
“Cadangan tersebut juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji,” kata Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan awal hari ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau seterusnya menggesa Imran menarik balik cadangan tersebut.