Pahang akan terima pelaburan RM1.134 bilion dari Singapura

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, nilai pelaburan RM1.134 bilion dari Singapura melebihi bajet tahunan kerajaaan negeri yang berjumlah RM700 juta. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Kerajaan Pahang hari ini menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur Singapura dan syarikat antarabangsa yang bersetuju melabur RM1.134 bilion di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 11 pelaburan tersebut akan dilakukan secara terus dan usaha sama.

Nilai pembangunan kasar keseluruhan bagi 11 pelaburan berkenaan adalah RM2.372 bilion, katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri menandatangani MoU itu.

Wan Rosdy berkata, nilai pelaburan itu melebihi bajet tahunan kerajaaan negeri yang hanya berjumlah RM700 juta.

Beliau berkata, Hercules Technologies Sdn Bhd merupakan pelabur terbesar dengan komitmen pelaburan RM450 juta, serta 3 projek di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Antara projek Hercules adalah cadangan pembangunan pusat pembekalan produk simen dan konkrit bagi pembinaan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di bahagian pantai timur yang turut melibatkan Terengganu dan Kelantan, katanya.

Wan Rosdy yang mengetuai misi perdagangan itu menyifatkan misi yang dilakukan 2 kali dalam tempoh 2 bulan itu sangat berjaya.

Ia yang dilaksanakan bersempena Forum Pelaburan Pahang 2019 dengan dihadiri 83 syarikat Singapura dan 23 syarikat multinasional yang berpangkalan di republik ini.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada Singapura memandangkan terdapat permintaan di pihak pelabur republik itu yang mahu melabur di negeri terbesar Semenanjung Malaysia itu.

Ketika ditanya mengenai insentif istimewa yang akan diberikan kepada pelabur berkenaan, Wan Rosdy berkata ia adalah sesuatu yang boleh diambil kira dan dipertimbangkan.

Semalam, dalam ucaptama pada forum tersebut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri merancang memperuntukkan kawasan seluas 485.62 hektar untuk dijadikan Taman Perindustrian Pahang-Singapura.

Kawasan tersebut akan terletak di kawasan utama Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran kampus Universiti Malaysia Pahang, katanya.