Pakar: Tulisan jawi tidak ada kena mengena dengan agama

Pelajar SJKC dan SJKT berpeluang mempelajari seni tulisan bahasa Melayu yang mempunyai 2 skrip, iaitu dalam tulisan jawi serta rumi.

KUALA LUMPUR: Mempelajari seni khat atau tulisan jawi sama sekali tidak akan menggugat pegangan agama, itu penegasan sasterawan ternama, Lim Swee Tin.

Lim, yang juga pejuang bahasa berpandangan, seni khat atau tulisan jawi bukanlah suatu bahasa, malah tidak ada kena mengena dengan agama atau ajaran al-Quran.

“Saya lahir di Bachok, Kelantan pada 26 Sept 1952 dan membesar dalam kalangan masyarakat Melayu.

Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, kemudian Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang kemudiannya SMK Hamzah.

“Semasa di sekolah rendah, saya menulis dan membaca jawi. Tidak ada masalah bagi saya, malah tidak ubah jati diri dan pegangan agama saya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Lim Swee Tin.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Keputusan tersebut turut membabitkan pelaksanaan seni khat dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

“Saya harap ibu bapa jangan bataskan anak-anak untuk belajar seni tulisan khat ini. Ia sekadar seni penulisan, langsung tidak sentuh isu atau kepentingan agama tertentu.

“Saya fikir suatu hari nanti, anak-anak ini dapat menulis khat dengan baik dan jadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Berkongsi pandangan tersebut, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Teo Kok Seong berkata, pelajar SJKC dan SJKT berpeluang mempelajari suatu seni tulisan bahasa Melayu yang mempunyai 2 skrip, iaitu dalam tulisan jawi serta rumi.

“Seni khat ini boleh tingkatkan kreativiti generasi muda. Pelaksanaan ini sepatutnya tidak ditentang sekiranya kita semua bersifat rasional dan mahu melihat generasi muda kita serba boleh dalam kehidupan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” katanya.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan tulisan jawi dan menjadikan ia sebagai tulisan warisan seperti kata pepatah Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Teo Kok Seong.

Teo berkata, semua pihak khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang berhubung perkara itu memandangkan ia suatu isu kecil yang sengaja diperbesarkan.

“Kekeliruan ini perlu dibuang dari pemikiran. Daripada menentang, ada baiknya dapatkan penjelasan.

“Sikap sebegini menunjukkan kita sebenarnya gagal dalam proses pembentukan negara bangsa sebagai komuniti sehati sejiwa,” kata Teo.

Justeru katanya, langkah KPM memperkenalkan tulisan tersebut berada di landasan yang betul selaras dengan status tulisan jawi sebagai skrip warisan yang perlu dipulihara.