Majikan swasta mahu lebih maklumat tawar latihan kepada banduan diparol

Program CSI diperkenalkan pada 2016 sejajar dengan matlamat Jabatan Penjara untuk memastikan 2/3 banduan menyertai program pemulihan di luar tembok penjara menjelang 2030.

PETALING JAYA: Masih wujud kebimbangan dalam kalangan syarikat swasta untuk menawarkan latihan kerja amali kepada banduan diparol supaya mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman apabila kembali kepada masyarakat kelak.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, syarikat swasta kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan banduan yang masih dalam tahanan, selain bimbang perkara tidak diingini berlaku.

“Kita sebenarnya bersedia melakukannya, namun ia perlu diperhalusi. Harus ada kerjasama lebih erat dengan Jabatan Penjara Malaysia supaya perkara tidak diingini tidak berlaku di tempat kerja, serta menyekat pengaruh buruk yang mungkin dibawa.

“Kita mahu sedikit pandangan dan tunjuk ajar daripada pihak Jabatan Penjara tentang bagaimana untuk mengendalikan mereka. Ini kerana kebanyakan syarikat tidak begitu pasti bagaimana hendak berinteraksi dengan banduan,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin Bardan.

Shamsuddin berkata demikian ketika menjawab gesaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang meminta syarikat swasta bekerjasama dengan Jabatan Penjara menawarkan latihan amali kepada banduan diparol.

Muhyiddin berkata, Program Latihan Pintar Korporat (CSI) memberi manfaat kepada syarikat yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan tidak perlu lagi bergantung pada pekerja asing.

Muhyiddin bagaimanapun tidak pasti ssama ada peserta program itu akan dipakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD) atau tidak bagi memastikan banduan diparol tidak melanggar Akta Penjara 1955 atau sebarang syarat parol mereka.

Menurut Shamsuddin, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai program CSI itu, yang sudah dilaksanakan sejak 3 tahun lalu memandangkan tidak pernah dipanggil untuk diberi penerangan dan penjelasan berhubung inisiatif berkenaan.

“Secara jujurnya, memang tidak ada (penerangan). Kita hanya mendengarnya daripada media dan sebagainya. Jika Jabatan Penjara bekerjasama dengan MEF, mungkin kita boleh panggil lebih ramai majikan swasta yang berminat,” katanya.

Program CSI diperkenalkan pada 2016 sejajar dengan matlamat Jabatan Penjara untuk memastikan 2/3 banduan menyertai program pemulihan luar tembok menjelang 2030.

Sejak dilaksanakan, seramai 2,928 banduan diparol mendapat manfaat daripada program itu yang membabitkan 80 syarikat swasta.

Pada 2017, 576 banduan diparol menyertai program itu, yang membabitkan 4 syarikat di 4 negeri dan jumlahnya meningkat kepada 695 peserta dengan 57 syarikat di 103 lokasi di 13 negeri tahun ini.

Antara syarikat terlibat ialah Yayasan Pahang, Sime Darby Plantations, Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd, Lypometal Sdn Bhd, Hup Chong Furniture Sdn Bhd dan Felcra.

Shamsuddin berkata, Putrajaya seharusnya memberi tawaran insentif menarik kepada syarikat swasta atas kesanggupan mereka mengambil risiko menyahut seruan kerajaan, iaitu mengambil banduan diparol menjalani latihan amali di syarikat mereka.

“Kalau ada syarikat yang sanggup mengambil risiko berkenaan, mesti ada balasan balik yang diberi oleh kerajaan. Pengurangan cukai misalnya, sudah memadai,” katanya.