3 mesin ATM di selatan Thailand diletupkan

Anggota polis menjalankan pemeriksaan di depan sekolah pondok Sasanasuksa di Saiburi, Pattani hari ini. (Gambar Bernama)

PATTANI: Tiga butir bom menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup di 3 daerah di wilayah bergolak Pattani, selatan Thailand hari ini.

Kejadian letupan bom berlaku mulai 12 tengah malam tadi (waktu tempatan) di daerah Khok Pho, Yarang dan Saiburi di Pattani.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Piyawat Chalermsi berkata kejadian pertama berlaku di pintu masuk sekolah pondok Asiztan di Khok Pho, disusuli pintu masuk Universiti Fatoni di Yarang dan bom ke-3 di pintu masuk sekolah pondok Sasanasuksa, Saiburi.

“Suspek turut melarikan wang dalam mesin ATM. Jumlahnya belum dikenal pasti.”

Beliau berkata, siasatan mendapati kira-kira 20 lelaki bersenjata terlibat dalam 3 letupan ATM itu.

“Suspek turut mengikat seorang pengawal keselamatan dan melarikan sepucuk pistol milik mangsa, sebelum meletupkan ATM di Universiti Fatoni.”

Polis masih menyiasat sama ada kejadian di Pattani hari ini ada kaitan dengan letupan di Bangkok pada Jumaat lalu.

Kelmarin, media tempatan melaporkan 4 cedera dalam beberapa siri letupan kecil yang menggegarkan Bangkok dan ia dikaitkan dengan kumpulan pemisah dari selatan Thailand.

Polis Thailand turut menahan 2 lelaki dari Narathiwat pada Jumaat lalu kerana dipercayai terlibat dalam insiden bom palsu di ibu pejabat polis, dekat lokasi Mesyuarat Menteri Luar Asea ke-52 dan pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan pada Khamis lalu.