BN boleh tawan semula Sabah, kata Najib

Najib Razak (tengah) bergambar dengan pemimpin dan perwakilan Umno pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Papar di Kinarut, hari ini.

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Najib Razak percaya parti itu boleh menang dan mengambil alih kerajaan Sabah.

Katanya, semakin ramai yang sedar zaman pemerintahan BN lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan dan dasarnya memanfaatkan orang Sabah.

“Itu sebabnya saya yakin Umno dan BN masih relevan di Sabah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Papar di Kinarut, dekat sini hari ini.

Najib yakin Umno dan BN mampu menawan kembali hati rakyat walaupun parti tempatan memainkan isu untuk meraih sokongan parti yang berpangkalan di Sabah.

Selepas beberapa kunjungan ke Sabah baru-baru ini, katanya, beliau mendapati semangat pro-Umno-BN “masih sangat kuat”, khasnya di peringkat akar umbi.

“Apa yang kita perlu buat sekarang ialah mengukuhkan kepimpinan kerana kita kehilangan beberapa orang yang melompat ke belah sana.”

Bekas perdana menteri itu berkata, BN tidak akan terlalu memfokuskan hubungan kerjasama dengan PAS di Sabah berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Ia bukan faktor besar dan kami tidak mahu memperbesarkan PAS di Sabah. Tetapi, kami akan lihat bagaimana kami boleh mengukuhkan Umno.

“Kita mungkin memerlukan beberapa perikatan di Sabah, tetapi pilihan kita terbuka buat masa ini.”

Beliau menyifatkan politik di Sabah “boleh berubah” dengan Umno dan BN terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang percaya kepada dasar mereka.

Najib berkata, walaupun pemimpin sedia ada bersemangat tinggi, mereka kekurangan pengalaman politik.

“Jadi, kita perlu ‘mematangkan’ mereka dalam masa terdekat supaya mereka boleh jadi alternatif berdaya maju kemudian.”

Terdahulu, beliau dalam ucapannya mengingatkan perwakilan yang BN tidak kalah dalam pilihan raya umum lalu, tetapi “hanya terjatuh kerana pemimpin terdahulu bertukar haluan selepas PRU”.

“Ada 21 orang yang melompat dan mereka bertanding serta menang di bawah tiket BN.

“Orang ini mendapat habuan selama ini, tetapi anda tidak mendapat apa-apa dan kekal setia kepada parti,” katanya yang mendapat tepukan daripada perwakilan.

Beliau berkata, Umno tidak akan tutup kedai dan akan bangkit untuk mendapatkan tempatnya dalam arena politik negara.

Mengenai fenomena “Bossku”, Najib berkata: “Saya juga tidak faham fenomena Bossku ini, tetapi saya bukan bos, rakyat yang merupakan bos.”