Salahuddin tolak dakwaan sokong sistem ‘cai’ dalam pemilihan Pemuda Amanah

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, parti itu melarang sistem ‘cai’ seperti diamalkan dalam PAS kerana ia dilihat tidak adil kepada semua ahli.

MUAR: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menegaskan bahawa beliau tidak menyokong sistem ‘cai’ yang diguna pakai pada pemilihan Pemuda Amanah yang sedang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini disalah erti apabila beberapa laporan media memetik kononnya beliau akan memperkenalkan sistem ‘cai’ yang lebih demokratik dalam pemilihan sayap parti itu.

Katanya, perkara seumpama itu tidak boleh berlaku sama sekali dan dilarang sebagaimana budaya yang diamalkan oleh PAS kerana ia dilihat tidak adil kepada semua ahli.

“Apa yang saya maksudkan ialah Pemuda Amanah hari ini tidak akan guna pakai sistem cai seperti diperkenalkan PAS dahulu kerana kita ada visi dan misi, bukan adakan pemilihan secara sembunyi dan memburukkan orang.

“Saya tegaskan bahawa ahli parti layak memilih sesiapa sahaja pemimpin sesuai bukan sebab dihasut atau digalakkan oleh orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Tani di Bakri di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, Amanah telah berusia 3 tahun dan semua ahlinya sudah maklum dan cakna untuk memilih pemimpin parti.

“Ucapan saya berkenaan sistem ‘cai’ yang dipetik dalam pemilihan Pemuda Amanah semalam tidak diletakkan dalam konteks yang betul. Saya menyuarakan bahawa kita (Amanah) tidak sekali-kali bersetuju dengan sistem itu,” katanya.