Keputusan Najib, Rosmah batal saman konspirasi Deepak 23 Okt

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 23 Okt untuk memutuskan sama ada membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak, isterinya, Rosmah Mansor dan 3 yang lain membatalkan saman bernilai RM52.6 juta terhadap mereka.

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan adiknya, Rajesh, menyaman Najib, Rosmah, Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim, bekas pengerusi Bank Rakyat, Shukry Salleh dan adik Najib, Ahmad Johari Razak tahun lalu kerana dakwaan konspirasi.

Adik-beradik itu mendakwa kelima-lima mereka adalah sebahagian daripada konspirasi untuk “memaksa” mereka membuat pinjaman RM198.8 juta daripada Bank Rakyat 10 tahun lalu.

Peguam mereka, Haniff Khatri Abdulla, berkata hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar menetapkan tarikh itu selepas mendengar kedua-dua mereka dan peguam mewakili 5 pemohon gugur saman tersebut.

Dalam saman mereka, adik-beradik itu juga berkata mereka bertindak sebagai “proksi” bagi pasangan itu dalam berhubung pinjaman, dan Najib dan Rosmah sepatutnya menyelesaikan pinjaman itu untuk mereka.

Deepak juga memfailkan saman lain terhadap Najib, Rosmah dan 2 yang lain berhubung konspirasi dan campurtangan dalam perjanjian harta yang dikatakan menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Beliau menuntut ganti rugi RM656 juta untuk saman campurtangan hartanah.

Deepak menjadi terkenal selepas beliau dikaitkan dengan P Balasubramaniam, penyiasat yang dilantik Abdul Razak Baginda, bekas pembantunya Najib, yang didakwa dan kemudian dibebaskan daripada dakwaan membunuh Altantuya Shaariibuu Mongolia.