Laksana langkah afirmatif berasaskan keperluan, kata Daim

Ketua majlis penasihat kerajaan Daim Zainuddin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua majlis penasihat kerajaan Daim Zainuddin hari ini menggesa langkah afirmatif diubah daripada berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.

Bercakap pada satu persidangan antarabangsa mengenai isu dalam dasar awam di Institut Polisi Awam dan Pengurusan Universiti Malaya beliau berkata, pendekatan baru perlu diambil bagi membantu golongan yang tidak mendapat habuan hasil daripada pembangunan negara.

“Kita tidak lagi boleh membenarkan dasar membela golongan Bumiputera terus memperkayakan sebilangan daripada kita yang telah mendapat manfaat daripada dasar ini, tetapi terus mengambil kesempatan atas kelemahan dasar untuk memperkaya diri sendiri dan membelakangkan golongan yang memerlukan pertolongan,” katanya.

“Kita perlu mengakui bahawa walaupun golongan Bumiputera lebih ramai miskin, kaum lain juga ada yang miskin dan mempunyai taraf hidup rendah.”

Beliau secara khusus menyebut tentang komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar dan individu yang gagal mendapat manfaat daripada agenda negara.

“Dari sudut dasar, golongan B40 tanpa mengira kaum mesti diberikan keutamaan,” katanya.

“Sebagai kelompok majoriti dalam kalangan B40, golongan Bumiputera akan terus mendapat manfaat. Mereka yang tidak layak dibantu, tidak akan mendapatnya. Ini mesti menjadi amalan.”

Daim berkata, Dasar Ekonomi Baru, yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada 1971 berjaya mengurangkan kemiskinan tegar, memperbesar kelas menengah dan mempelbagaikan ekonomi.

Bagaimanapun katanya, ia turut dihantui kelemahan dan salah guna lalu menjadi “punca perasaan tidak puas hati, selain terus menjadi dasar kerajaan yang paling kerap dipertahankan”.

“Apa-apa dasar pun haruslah menatijahkan keadilan untuk semua.”

Beliau juga menggesa nilai murni diterapkan alam kalangan generasi muda dengan berkata, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan hasil kerja dan diri mereka sendiri.

“Apakah manfaat yang kita perolehi dengan mengajar generasi muda bahawa mereka berhak mendapat sesuatu berbanding orang lain semata-mata kerana kaum mereka?

“Apakah betul sekiranya kita mendidik pelajar supaya berfikir bahawa agama orang lain lebih rendah daripada agama sendiri?

“Adakah bermoral sekiranya kita mengajar bahawa pelajar lain tidak berhak mendapat keistimewaan tertentu hanya kerana kaum mereka, walaupun keadaan ekonomi mereka ketinggalan?

“Apakah wajar untuk beranggapan jika anda daripada kaum yang lebih berjaya dari segi ekonomi, maka anda harus memandang rendah kaum yang kurang berjaya?

“Wajarkah jika anda diajar supaya berasa hebat kerana bahasa pendidikan yang anda terima juga merupakan bahasa sebuah negara kuasa ekonomi yang berjaya?

“Harus wujud persefahaman dan perasaan empati antara kaum di negara kita,” katanya.