Peguam Negara mahu halang peguam mencelah dalam saman terhadap ketua hakim negara

Peguam Haniff Kathri Abdulla.

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mahu menghalang peguam Haniff Khatri Abdulla daripada terlibat dalam saman peguam Sangeet Kaur terhadap ketua hakim negera berkait dakwaan campur tangan dalam kes hasutan mendiang bapanya.

Haniff berkata, peguam kanan persekutuan S Narkunavathy memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril hari ini mengenai pendirian mereka terhadap permohonannya untuk mencelah dalam saman anak bekas pengerusi DAP itu.

“Mahkamah meminta Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit dalam tempoh 2 minggu,” katanya selepas hadir saman itu hari ini.

Katanya, beliau mempunyai kepentingan dalam isu melibatkan kes Sangeet.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 29 Ogos depan bagi mendengar permohonannya untuk terlibat dalam saman itu.

“Jika mahkamah fikir saya tidak boleh mencelah atas hujah undang-undang, maka remedi alternatif yang saya mahu ialah hak untuk terlibat sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah)”, katanya.

Haniff memohon untuk mencelah selepas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer memfailkan satu afidavit dalam saman Sangeet.

Hamid mendakwa hakim kanan campur tangan dalam keputusan melibatkan beberapa kes, termasuk kes hasutan bekas pengerusi DAP Karpal Singh.

Beliau juga mendakwa sesetengah hakim membantu penipuan yang lakukan oleh penama ahli politik yang mengikat kontrak dengan kerajaan.

Jabatan Peguam Negara memohon untuk membatalkan afidavit Hamid atas alasan ia didasarkan kepada dengar cakap.

Sangeet memfailkan saman terhadap ketua hakim negara pada Januari, dengan memohon perisytiharan mahkamah bahawa beliau gagal menjalankan tugasnya untuk memelihara dan mempertahankan integriti badan kehakiman.

Ricahrd Malanjum merupakan ketua hakim negara apabila saman itu difailkan. Beliau bersara pada 13 April.

Dalam pada itu, Haniff mempersoalkan kedudukan saling bercanggah yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara dalam saman Sangeet dan bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee.

Yong memfailkan samannya selepas kerajaan memaklumkan bahawa satu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan berhubung dakwaan campur tangan kehakiman.

Beliau mendakwa keputusan menubuhkan RCI bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

“Dalam kes Yong, Jabatan Peguam Negara membantah saman itu kerana penubuhan RCI merupakan budi bicara kerajaan, tetapi dalam kes Sangeet mereka mahu membatalkan afidavit seorang hakim,” kata Haniff.

Katanya, afidavit Hamid berpunca daripada pengumumankerajaan untuk menubuhkan RCI.