Turki selamat 22 migran di Laut Aegea

Turki menjadi titik transit utama kepada migran yang berhasrat menyeberang ke Eropah untuk memulakan hidup baru. (Gambar AFP)

MUGLA: Sekurang-kurangnya 22 migran diselamatkan di Laut Aegea berhampiran pantai barat daya Turki, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan sumber keselamatan pada Ahad.

Migran terbabit meminta bantuan pengawal pantai Turki apabila sebuah bot yang membawa mereka terkandas berhampiran daerah Datca dalam wilayah Mugla, kata sumber itu yang enggan dikenali.

Kesemua migran yang kebanyakannya rakyat Syria, Palestin dan Iraq dirujuk kepada pejabat migrasi wilayah.

Turki menjadi titik transit utama kepada migran yang berhasrat menyeberang ke Eropah untuk memulakan hidup baru, terutama mereka yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan.

Menurut angka rasmi, hampir 180,000 migran ditahan setakat ini pada 2019.