Warga internet kecam notis kekosongan jawatan berbaur rasis

Syarikat fesyen Kitschen memohon maaf atas notis kekosongan jawatan yang berbaur diskriminasi di salah satu kedainya.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat fesyen gaya hidup, Kitschen memohon maaf di media sosial selepas notis kekosongan jawatan berbaur diskriminasi dinaikkan di salah satu cawangannya.

Notis itu tertera hanya pemohon berketurunan Melayu dan Cina diterima untuk menyertai pasukan itu.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya dan akan menangani isu ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini, dan menambah ia sedang berbincang dengan semua pihak terlibat dan akan mengambil tindakan segera.

Syarikat itu berkata ia tidak akan membiarkan tingkah laku diskriminasi. “Tiada alasan dalam hal ini. Kami menundukkan kepala kami dengan rasa malu dan hina.”

Gambar-gambar notis kekosongan jawatan itu dimuatnaik di pengguna Facebook, Shambavi Shankar berkata, poster itu dilihat di cawangan syarikat itu di Bukit Tinggi, Klang.

Beliau berkata seorang kakitangan kedai itu, ketika ditanya mengenai notis itu memberitahunya, “bukankah lebih baik beritahu orang India dengan notis di luar daripada buang masa mereka masuk dan mohon?”

Syarikat itu memohon maaf kepada Shambavi dan berkata notis itu menyalahi dasar-dasarnya dan “tiada kelulusan daripada pihak pengurusan untuk menyiarkan iklan kekosongan itu.”

Kitschen, yang mempunyai kedai-kedai di 4 negeri dan di ibu negara, menggambarnya ia sebagai “taman permainan fesyen” untuk anak muda “bereksperimen dengan pakaian mereka”.