Ahli Parlimen beri kerjasama baik isytihar harta, kata SPRM

Latheefa Koya memberi jaminan hanya butiran umum aset ahli Parlimen akan didedahkan kepada orang ramai atas dasar privasi.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpuas hati dengan kerjasama yang diterima daripada ahli Parlimen setakat ini, susulan langkah kerajaan mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata ia sedang menyusun butiran lain berkaitan syarat pengisytiharan harta untuk pengetahuan orang ramai.

“Dari segi Parlimen, saya rasa kami mendapat kerjasama baik dari segi jenis pengisytiharan,” katanya selepas menghadiri sesi dialog dengan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta mengenai Seksyen 17A Akta SPRM yang akan menyebabkan pihak pengurusan bertanggungjawab terhadap amalan rasuah kakitangannya.

Latheefa turut memberi jaminan hanya butiran umum ahli Parlimen akan didedahkan kepada orang ramai atas dasar privasi.

Katanya, pengisytiharan itu dibahagikan kepada aset dan liabiliti.

“Kami sedang mengumpul (butiran) liabiliti mereka.”

Beliau berkata, berlaku kelewatan dalam mengumumkan butiran itu kerana ada sesetengah ahli Parlimen menggunakan borang salah untuk mengisytiharkan harta mereka.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul khas yang mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset.

Mereka diberi masa sehingga 1 Oktober ini untuk mengisytiharkan aset mereka.

Sementara itu, dalam sesi dialog menjelang pelaksanaan Seksyen 17 Akta SPRM pada Jun tahun depan, pengurusan GLC membangkitkan beberapa isu.

Kebanyakannya ingin tahu cara menubuhkan bahagian integriti dalam syarikat mereka, sama ada ia patut diletakkan di bawah jabatan sumber manusia atau unit audit.

Kebimbangan lain ialah sesetengah pegawai SPRM mungkin tidak biasa dengan aspek teknikal pengurusan dan peruntukan baru itu mungkin menimbulkan lebih banyak ketakutan dalam syarikat.

Latheefa berkata, penempatan pegawai integriti dalam GLC yang bermula 2014 perlu diperkukuhkan dengan memberi mereka lebih banyak kuasa.

Katanya, pegawai integriti tidak patut ditempatkan di bawah jabatan sumber manusia dan mereka perlu diberikan akses kepada minit mesyuarat dalaman dan dokumen lain.

“Pegawai integriti akan berkongsi dengan kami isu yang mereka hadapi,” katanya sambil menambah tiada apa yang perlu ditakutkan kerana jawatankuasa agensi itu yang ditugaskan untuk meneliti perkara itu akan membantu menyelesaikan sebarang persoalan syarikat terbabit.