China beri amaran pada AS henti campur tangan hal ehwal Hong Kong

Penunjuk perasaan bertindak ganas ketika menyertai protes besar-besaran di tengah Hong Kong untuk membantah pindaan ke atas rang undang-undang bagi membenarkan ekstradisi ke China. (Gambar AFP)

BEIJING: Seorang jurucakap Kementerian Luar China pada Isnin mengulangi gesaan untuk Amerika Syarikat menghentikan campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong kerana tiada pihak harus memandang rendah resolusi tegas Beijing untuk melaksanakan prinsip “satu negara, 2 sistem” serta menjaga kemakmuran dan kestabilan di Hong Kong, lapor agensi berita Xinhua.

Hua Chunying membuat kenyataan itu ketika menjawab sepucuk surat daripada beberapa penggubal undang-undang AS pada Jumaat yang mendesak Washington tidak membantu “penindasan terhadap demonstrasi aman Hong Kong” dan menolak idea untuk mendefinisikan demonstrasi itu sebagai “rusuhan”.

Beliau berkata, pihak radikal ganas di Hong Kong melakukan kerosakan ketika menyerbu Bangunan Perundangan dan Pejabat Perhubungan Kerajaan Rakyat Pusat di Wilayah Pentadbiran Khusus Hong Kong (HKSAR).

Mereka sengaja merosakkan kemudahan awam, menghalang lalu lintas serta menyimpan barangan dan senjata berbahaya secara haram, selain menyerang polis.

“Semua adegan ini disaksikan masyarakat seluruh dunia. Jadi, bagaimana individu terbabit di AS menggelarnya demonstrasi aman?

“Semua orang yang memiliki hati nurani akan setuju tingkah laku ganas itu melampaui batasan dalam mana-mana masyarakat bertamadun.

“Mereka melangkaui batasan demonstrasi aman dan kebebasan bersuara, mereka juga memijak kedaulatan undang-undang Hong Kong, mengancam keselamatan penduduk dan merosakkan harta benda, selain melanggar dasar satu negara, 2 sistem. Perkara sebegini tidak boleh diterima,” kata Hua.

Beliau berkata, AS tidak menyebut langsung perkara itu, sebaliknya membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung tindakan ganas terhadap polis di negara itu, tetapi pada masa sama, ia begitu lantang mengkritik atau cuba mencemar penguatkuasaan undang-undang yang profesional, bertamadun dan terkawal polis Hong Kong.

“Ini hanya akan membantu dunia untuk melihat betapa sombongnya AS yang bersikap berat sebelah, hipokrit, kejam, mementingkan diri serta suka mengarah.

“Adakah keganasan yang bermaharajalela serta keruntuhan kedaulatan undang-undang sesuatu yang AS sifatkan sebagai hak asasi manusia dan kebebasan?” soal Hua.

Beliau menggesa AS berhenti campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong, membiarkan perlakuan jenayah ganas dan menjejaskan pentadbiran pemerintah HKSAR mengikut undang-undang.