Iklan kekosongan untuk pemohon berbahasa Melayu, Mandarin, kata Kitschen

PETALING JAYA: Syarikat fesyen gaya hidup, Kitschen, yang dikecam kerana notis kekosongan jawatan yang nampak seperti ia hanya untuk permohon berketurunan Melayu dan Cina, hari ini menjelaskan kakitangan yang merangka notis itu berniat mengiklankan kekosongan untuk pemohon yang boleh berbahasa Melayu atau Mandarin.

Membidas notis itu sebagai “tidak dirangka dengan baik” dan “diskriminasi”, seorang jurucakap Kitschen memberitahu FMT notis itu “hasil melanggar tatacara operasi standard yang menetapkan semua komunuikasi jenama itu diperiksa dan diluluskan ibu pejabat”.

“Ketiadaan pemeriksaan di pihak kami yang mengakibatkannya. Kami ingin tegaskan bahawa kami amat kesal dengan kejadian itu dan kesakitan yang disebabkannya,” katanya.

“Kami sudah mengambil langkah-langkah memastikan ia tidak akan berlaku lagi.”

Notis itu, yang tersebar dengan cepat, tertera ia mencari pemohon berketurunan Melayu dan Cina berusia 18 tahun dan ke atas untuk menyertai pasukannya di cawangan Aeon Bukit Tinggi di Klang.

Perkara itu dilaporkan selepas seorang pengguna Facebook, Shambavi Shankar berkongsi gambar notis itu, mengatakan seorang kakitangan memberitahunya: “Bukankah lebih baik beritahu orang India dengan notis di luar daripada buang masa mereka masuk dan mohon?”

Kitschen sudah memohon maaf kepada Shambavi, mengatakan notis itu tidak diluluskan pihak pengurusan.