Kerajaan cadang lanjut lesen Lynas, kata sumber

Lynas Corp menjalankan operasinya di Pahang sejak 2012. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk melanjutkan lesen Lynas Corp untuk meneruskan operasi loji pemprosesan nadir bumi, walaupun tempohnya mungkin lebih pendek berbanding 3 tahun seperti sebelum ini, kata 2 sumber yang mengetahui secara langsung tentang perkara itu.

Syarikat Australia itu menjalankan lojinya di Malaysia sejak 2012 menggunakan nadir bumi yang dilombong dari Gunung Weld di Australia Barat, walaupun terdapat pertikaian mengenai penghapusan sisa radioaktif tahap rendah yang dihasilkan kilang itu.

Keputusan untuk menyambung lesen yang tamat pada 2 September ini adalah penting untuk pasaran nadir bumi, memandangkan Lynas adalah pengeluar terbesar di luar China.

Sumber yang enggan dinamakan memberitahu Reuters, kerajaan belum memuktamadkan lagi tempoh pelanjutan menjelang pengumumannya yang dijangka pada pertengahan Ogos ini.

Lynas, yang menjual sebahagian besar produknya kepada Jepun, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Pejabat Perdana Menteri tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan yang di e-mel yang meminta pengesahan pelanjutan lesen.

Syarikat itu berkata pihaknya memulakan simpanan stok elemen nadir bumi Neodymium Praseodymium di tengah-tengah ketegangan perdagangan Sino-Amerika Syarikat yang mana menimbulkan kebimbangan pengeluar utama China boleh membendung eksport nadir bumi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pada hujung minggu lalu bahawa Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan kurang ideal mengenai Lynas dan pengumuman terperinci akan dibuat pada bulan ini.

“Apa saya boleh katakan ialah, keputusan yang dicapai bukan yang paling ideal, bagi sayalah. Tetapi ia lebih baik daripada status quo,” katanya.

Saham syarikat itu jatuh sebanyak 5.6% semalam selepas portal berita Malaysiakini berkata, memetik satu sumber yang tidak dinamakan, keputusan mengenai lesen itu boleh ditangguhkan sehingga 6 bulan.

Lynas menawarkan untuk memindahkan sisa itu, yang mana beberapa ahli politik pemerintah mengatakan “lombong yang tidak digunakan” di Pahang di mana terletaknya kilang itu adalah berbahaya.

“Saya masih percaya Lynas tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi dan terus menjana sisa radioaktif yang akan mempunyai kesan negatif jangka panjang,” kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang tidak menyokong pelan Lynas, dalam satu kenyataan pada Ahad.