MySalam tolak tuntutan pesakit kanser kerana tiada laporan perubatan hospital kerajaan

Kementerian Kewangan mengulangi skim mySalam tidak memberi keuntungan kepada mana-mana syarikat insurans swasta kerana premium yang dibayar kerajaan akan dikembalikan ke Tabung Amanah mySalam, jika ia tidak dituntut golongan B40. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan berkata tuntutan seorang penghidap kanser kolon tahap 4 ditolak Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) kerana beliau tidak menghantar salinan laporan perubatannya di hospital kerajaan.

“Great Eastern Takaful Berhad (GETB) bersedia membantu proses rayuan beliau untuk mendapat faedah penyakit kritikal sebanyak RM8,000,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Michael Jeyakumar Devaraj membangkitkan kes penolakan tuntutan penyakit kritikal seorang pemandu lori berusia 48 tahun yang menghidap kanser kolon tahap 4 dalam satu surat terbuka kepada perdana menteri.

Katanya, pesakit itu ialah pencari nafkah tunggal dalam keluarganya dan beliau membuat diagnosis klinikal mengenai kanser kolon sebelum merujuknya ke Hospital Besar Ipoh.

Tetapi, katanya, jawapan mySalam melalui mesej WhatsApp ialah “tuntutan penyakit kritikal anda telah ditolak disebabkan kemasukan hospital bukan kerajaan. Salah satu syarat tuntutan adalah penyakit mestilah didiagnosis di hospital kerajaan”.

Beliau mendakwa Great Eastern hanya membayar kira-kira RM3 juta kepada pesakit sepanjang tahun ini berbanding RM400 juta yang dibayar kerajaan kepada syarikat insurans itu setahun untuk melindungi golongan B40.

Hari ini, Kementerian Kewangan mengulangi skim mySalam tidak memberi keuntungan kepada mana-mana syarikat insurans swasta kerana premium yang dibayar kerajaan akan dikembalikan ke Tabung Amanah mySalam, jika ia tidak dituntut golongan B40.

“Harus ditekankan semula tiada unsur keuntungan bagi Great Eastern Holdings mahupun GETB melalui skim mySalam. Oleh itu, tiada insentif untuk GETB sebagai pengurus takaful mySalam untuk tidak mengeluarkan bayaran bagi mana-mana tuntutan yang layak.”

Kementerian itu berkata, selepas disahkan menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal di hospital kerajaan, universiti atau tentera, pesakit boleh menghantar laporan perubatan kepada mySalam untuk mendapat manfaat RM8,000.

Katanya, proses tuntutan mysalam mudah serta jelas, dan syarat kelayakan ada dinyatakan menerusi https://www.mysalam.com.my/.