Operasi cari Nora Anne tumpu kawasan sungai

Nora Anne Quoirin. (Gambar Facebook)

NILAI: Pencarian Nora Anne Quoirin, 15, yang masuk hari ke-3 hari ini diteruskan secara bersepadu dengan tumpuan di kawasan lereng bukit dan sungai.

Polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta penduduk setempat menggembeleng usaha mencari remaja Ireland itu yang hilang ketika bercuti bersama keluarganya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusof berkata semua unit polis digerakkan termasuk Unit Anjing Pengesan dan Unit Senoi Praaq bermula 7.30 pagi membabitkan kekuatan 178 anggota.

Tumpuan pencarian masih di sekitar kawasan sekeliling resort berkenaan seluas 4 hektar dan dipecahkan kepada 4 sektor. Pencarian turut dibuat melalui tinjauan dari udara.

“Kami rasa tempat di atas (bukit) kami dah cuba cari banyak kali dan kalau secara logiknya, dia (mangsa) tidak akan naik lagi dan cuba turun ke kaki bukit mencari air.

“Jadi mulai petang ini dan sehingga malam, kami akan beri fokus kepada kawasan sungai di bawah. Setakat ini tiada maklumat yang tepat yang kami dapat dan setakat pukul 5 ini, keputusan negatif,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohamad berkata anjing pengesan yang digunakan dalam operasi itu juga hanya dapat menjejaki bau mangsa pada hari pertama operasi dan sejauh 100 meter dari chalet yang diduduki remaja itu.

“Pada hari berikutnya, bau semakin lama semakin hilang. Kami percaya Nora Anne masih berada di kawasan sekitar,” katanya.

Mohamad berkata pihaknya masih mengklasfikasi kes kehilangan Nora Anne itu sebagai orang hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Nilai, Mohd Nor Marzukee Besar berkata polis melakukan 4 kali tinjauan udara sepanjang operasi pencarian dilakukan bermula 9am.

“Selain pencarian di darat, kami juga menggunakan helikopter bagi pemantauan daripada udara,” katanya.

Pada 4 Ogos lepas, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort oleh keluarganya pada 8am.

Keluarga mangsa juga memaklumkan remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor pula dalam kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi sebarang berita tidak benar mengenai kehilangan remaja itu, demi menjaga sensitiviti keluarga dan bagi mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan usaha pencarian.