Seni khat diajar 4 kali setahun dalam 10 minit terakhir kelas BM, kata ahli panel

S Vijayaletchumy berkata, ibu bapa murid SJKC dan SJKT tidak perlu risau kerana seni khat langsung tidak membabitkan pembelajaran berunsur agama Islam kerana khat hanyalah seni kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina.

KUALA LUMPUR: Tekap, sambung titik pada huruf jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat, hanya itu yang perlu dilakukan murid Tahun 4, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) apabila tulisan khat diperkenalkan dalam subjek bahasa Melayu tahun depan.

Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof S Vijayaletchumy berkata perkara itu hanya akan diajar 4 kali setahun dalam masa 10 minit terakhir sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa dalam subjek bahasa Melayu.

Beliau yang menganggotai panel dalam menggubal kurikulum itu berkata, hanya 5 hingga 6 aksara tulisan jawi akan diperkenalkan kepada murid.

“Masyarakat serta pihak tertentu sebenarnya salah faham atau keliru antara tulisan jawi dengan tulisan khat. Ia merupakan perkara yang berbeza.

“Tulisan jawi merupakan tulisan rasmi, manakala tulisan khat merupakan salah satu aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam bahasa Melayu yang melibatkan tulisan jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) memasukkan seni khat dalam pengajaran bahasa Melayu kerana ia merupakan sebahagian warisan bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri…yang diajar adalah seni khat dan bukan tulisan jawi, jadi ia merupakan salah faham,” katanya kepada Bernama di UPM hari ini.

Katanya, ibu bapa murid SJKC dan SJKT tidak perlu risau kerana langsung tidak membabitkan pembelajaran berunsur agama Islam kerana khat hanyalah seni kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina.

Beliau mengulas isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 yang menimbulkan polemik dan rasa tidak puas hati pihak tertentu, termasuk 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil.

Vijayaletchumy berkata, pembelajaran bahasa Melayu mempunyai 5 bahagian penting, iaitu melibatkan 3 kemahiran (mendengar dan bertutur, membaca dan menulis), manakala 2 lagi merupakan aspek tatabahasa serta seni bahasa.

“Pengajaran seni khat ini terkandung dalam seni bahasa dan ia tidak akan dinilai sama sekali dalam pencapaian murid. Hal ini telah dinyatakan secara jelas dalam Dokumen Standad Kurikulum Pendidikan (DSKP).

“Murid akan belajar perkara ini secara santai dan ia adalah unsur tambahan saja. Ini juga merupakan psikomotor sebab seni khat ini akan memerlukan murid memanjangkan tulisan ke kiri, ke kanan, ke bawah dan sebagainya.

“Ia juga baik untuk minda kerana murid juga akan lebih seronok dan santai belajar disebabkan tidak ada tekanan untuk mereka diuji dan lulus, membolehkan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan lebih baik.”

Pada masa sama, katanya, pengenalan seni khat tidak menimbulkan masalah kekurangan guru kerana ia akan menggunakan tenaga pengajar sedia ada.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau mengenai kos kerana semua alatan yang akan digunakan pembelajaran itu ditanggung kementerian.

Oleh itu, beliau berharap isu itu tidak terus dipolitikkan untuk kebaikan generasi akan datang dan kurikulum yang diperkenalkan kerajaan sudah dibincang dengan teliti dan disepakati lebih 30 ahli bahasa, guru sekolah SJKT dan SJKC dalam panel khas terbabit.